Tiada yang menyebakkan hati apabila melihat terpisahnya kasih sayang anak dan ayah di saat anak masih kecil dan memerlukan belaian dan kasih sayang daripada insan bergelar bapa.
Tular video kejadian perselisihan faham di jalanraya, mangsa Allahyarham Syed Muhammad Danial Syed Syakir disahkan meninggal dunia di sebuah pusat perubatan di Nilai akibat dilanggar oleh suspek.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat dilaporkan berkata, kejadian itu berlaku berpunca daripada kemalangan kecil antara Syed Muhammad Danial dan suspek berusia 40 tahun selepas Plaza Tol Sungai Besi menghala ke selatan.
Dalam kejadian pada jam 1.40 tengah pada 10 Ogos 2019, difahamkan kereta yang dipandu Allahyarham Syed Muhammad Danial melanggar bahagian belakang kereta suspek menyebabkan berlaku kejar mengejar sehingga kenderaan mereka berhenti selepas persimpangan Bandar Baru Bangi.
Menurutnya, berlaku pergaduhan antara suspek sebelum mangsa yang dikatakan tidak berpuas hati keluar dari kenderaannya dengan membawa kayu besbol dan terus memukul bahagian hadapan kereta suspek. Suspek yang kemudian menekan pedal minyak dalam keadaan tergesa-gesa terlanggar Syed Muhammad Danial.
Kejadian itu menyebabkan Syed Muhammad Danial tersepit di antara kereta suspek dan penghadang jalan sebelum dikejarkan ke Nilai Medical Centre oleh orang awam, Allahyarham bagaimanapun disahkan meninggal dunia dan meninggalkan seorang balu Qistina Ayu Rozhan Mohd Rozhan, 28, dan bayi perempuan yang baru berusia 4 bulan bernama Syarifah Dian Syed Muhammad Danial.
Polis menahan sepasang suami isteri, masing-masing berumur dalam lingkungan awal 40-an dan lewat 30-an dan direman tujuh hari hingga 17 Ogos di Mahkamah Majistret Kajang.Pasangan itu direman bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
KERETA ROSAK TAK KETARA, TAK SANGKA MENANTU CEDERA PARAH
“Jikabenar berlaku pergaduhan, tidak perlu hingga meragut nyawa” kata Mohd Rohzan Ramlee, 57, bapa mertua Syed Muhammad Danial Syed Syakir, 29.
Mohd Rozhan Ramlee berkata, dia dimaklumkan berita mengenai kejadian menimpa menantunya itu melalui anak bongsu, Zafri Amir, 19, selepas dimaklumkan oleh rakannya yang kebetulan lalu di lokasi kejadian kira-kira 2 petang.
“Sebaik menerima berita itu, saya bersama anak bergegas dari rumah di Bukit Mahkota ke lokasi untuk melihat keadaan menantu.
“Zafri yang tiba dulu di lokasi kemudian membawa abang iparnya ke klinik kesihatan berhampiran menaiki kereta orang awam sebelum dibawa ke Nilai Medical Centre selepas mendapati klinik berkenaan tutup,” katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Serdang, hari ini.
Mohd Rozhan berkata, dia yang tiba bersama isteri mangsa, Qistina Ayu Rozhan, 28, di lokasi lima minit kemudian mendapati bahagian belakang kereta dipandu menantunya itu kemek.
“Jika dilihat pada kerosakan kereta menantu, tidak ada kerosakan ketara dan saya beranggapan dia mungkin hanya cedera ringan.
“Namun, sebaik tiba di Nilai Medical Centre, menantu disahkan meninggal dunia kerana kecederaan parah di kepala dan dalaman.
CUCU HILANG BAPA SEKELIP MATA
“Sebagai bapa mentuanya, menantu seorang yang baik dan hormat pada orang tua. Saya sama sekali tidak menyangka kejadian ini menyebabkan cucu saya kehilangan bapa dalam sekelip mata.
“Menantu seorang anak yang taat kerana setiap hujung minggu dia akan membawa isteri dan anaknya ke rumah ibunya di Shah Alam.
“Jika diikutkan perancangan, mereka sekeluarga mahu menyambut Aidiladha di rumah ibunya ,” katanya yang berazam untuk membesarkan cucunya.
“Saya amat terkejut dengan perkhabaran itu kerana tidak menyangka dia meninggal dunia dalam kejadian itu tanpa menyedari apa yang benar-benar berlaku kepadanya,” katanya.
ADIK IPAR DAPATI MANGSA SEPARUH SEDAR
Zafri Amir ketika menceritakan semula kejadian itu berkata, abang iparnya ditemui dalam keadaan separuh sedar di tepi laluan berkenaan.
“Saya kemudian bergegas membawanya menaiki kereta orang awam yang berada di lokasi untuk ke klinik berhampiran.
“Apa yang saya lihat pada abang ipar ketika itu adalah kesan lebam di kepala serta perutnya.
“Sepanjang perjalanan ke klinik berhampiran, dia dalam keadaan separuh sedar.
“Bagaimanapun, sebaik tiba di Nilai Medical Centre, dia sudah tidak sedarkan diri sebelum dibawa ke Unit Kecemasan.
“Pihak doktor yang merawatnya kemudian memaklumkan dia sudah meninggal dunia ketika sedang dirawat,” katanya.
TANGISAN ISTERI MANGSA MERUNTUN JIWA
Sementara itu, isteri mangsa dilihat menangis teresak-esak sambil mendukung anak tunggal mereka, Syarifah Dian Syed Muhammad Danial berusia empat bulan ketika menunggu proses laporan bedah siasat.
Usaha wartawan untuk mendapatkan komen mengenai kejadian menimpa suaminya yang bekerja sebagai pengurus bank gagal apabila dia tidak mahu ditemu bual dan minta diberi ruang.
Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Mahkota, Bangi selepas proses bedah siasat.
Sumber: hmetro.com.my & mmgazzette