loading...

Anak Geli Pakai Kasut & Pegang Ais, Ibu Kongsi Masalah Sensori Anak Dalam Pa&Ma TV

“Hanya ibu bapa yang tahu tentang perkembangan anak-anak”. Jangan bandingkan perkembangan anak anda dengan anak orang lain kerana setiap perkembangan anak-anak adalah berbeza. 

Begitulah perkongsian Puan Farah Najwa Sya dalam program Pa&Ma TV yang telah masuk musim ke-5 semalam dengan episod 1: Beri Masa Untuk Perkembangan Anak. Pa&Ma TV kini bersiaran pada setiap hari rabu pukul 9 malam, ulangan pada hari sabtu 11 pagi di Astro Prima HD.

Menurut pakar Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Encik Hazhari Ismail, pendidikan awal kanak-kanak dikategori dari umur 0-6 tahun. Perkembangan kanak-kanak berbeza mengikut kategori masing-masing.

Takut Pegang Ais Dan Takut Pakai Kasut

Puan Najwa dalam Pa&Ma TV berkongsi anak sulungnya, Zafran yang berumur 5 tahun dan sudah bersekolah sebenarnya mempunyai masalah sensori. “Dia takut untuk memegang ais dan takut untuk memakai kasut sehingga menyebabkan dia menjerit-jerit.”

Pada permulaanya dia seorang yang cepat belajar. “Bila kita ajar, dia sangat cepat “tangkap” dengan apa yang diajar. Dari situlah saya ambil kesempatan ajar dia abc dan ketika umur dia dua tahun dia mampu membezakan huruf kecil dan huruf besar, banyak hafal Al-Quran”

“Saya mula perasan dia menunjukkan ciri-ciri geli. Ketika kami ke Shopping Mall untuk membeli kasut, dia takut untuk memakai kasut. Kalau nampak sensory ball dia geli dan kalau dirumah dia tak suka kulit terdedah jadi dia pastikan akan memakai pakaian yang bertutup. Paling ketara masalah ini berlaku pada umur dia dua tahun”

Mula Berjumpa Pakar

Pelik dengan keletah anaknya, Puan Farah berjumpa dengan pakar untuk mengetahui masalah anak sulungnya itu.

“Masa saya ke kelas seminar occupational therapy untuk kanak-kanak, antara tanda-tanda yang pakar maklumkan memang ada pada kriteria masalah sensori yang anak saya hadapi. Sensori ada lapan yang asas iaitu visual, smell system, taste system, tactile system, vestibular, proprioceptive dan interoception.”

“Anak saya kategori masalah sensory tactile. Tactile sensory system bertindak balas dengan sentuhan pada tubuh badan. Pakar minta saya buat terapi sendiri yang sesuai. Jadi bila dia keluar saya tak bagi dia pakai kasut supaya sensori dia bertindak balas dengan alam dan saya biarkan dia bermain dengan  benda-benda yang kotor seperti pasir, tanah liat dan sebagainya.”

Tip Untuk Ibu Bapa Lain

“Saya amalkan beberapa tip. Sebagai ibu bapa kita perlu menjadi kreatif. Contoh anak saya takut untuk pegang ais, jadi saya bekukan mainan dia dalam ais jadi dia terpaksa bermain dengan ais untuk mendapatkan mainannya. Alhamdulillah anak saya dah 5 tahun dan tiada masalah sensori lagi. Dia pun mula berani memegang ular, biawak dan sebagainya.”

Berkat usaha Puan Farah membantu memperbetulkan masalah sensori anaknya, Zafran berjaya pulih seperti kanak-kanak lain. Perkongsian ini diharapkan dapat membuka mata kepada ibu bapa lain. Beri masa kepada perkembangan anak dan jangan terlalu memaksa anak-anak. Ikutlah fitrah perkembangan mereka.

Untuk melihat ulangan episod 1 musim ke-5 secara penuh boleh tonton di Astro Prima HD, setiap sabtu jam 11 pagi. 

Tinggalkan Komen

Previous
Next Post »
loading...