loading...

Sambut Kelahiran Anak Kedua, Anak Sulung Jangan Diabaikan

Ibu ayah mesti rasa teruja menyambut kelahiran anak kedua dalam keluarga. Tapi jangan abaikan anak sulung. Perasaan mereka juga perlu dijaga. Selalunya papa dan mama akan beranggapan anak sulung sudah besar dan faham tentang kehadiran adik.

Hakikatnya walaupun mereka sudah besar, kehadiran adik walaupun sangat dinantikan tetapi ada sedikit rasa cemburu. Apatah lagi kalau yang sulung itu masih anak kecil yang tidak berapa faham lagi tentang kehadiran adik baru.

Tentu sahaja bila perhatian papa dan mama tertumpu pada adik baru, si sulung akan buat perangai sebagai salah satu cara memberitahu perasaannya.

Papa dan mama yang tidak faham dengan tindak-tanduk anak akan terus memarahi dan memusuhi anak sulung. Inilah yang akan memberi kesan buruk kepada perkembangan mereka.

Sebenarnya ada cara yang sepatutnya dilakukan oleh papa dan mama terhadap anak sulung ketika menerima kehadiran anak baru. Jom semak apakah dia.

DIA TETAP YANG TERUTAMA

Lahirnya anak kedua di dalam suatu keluarga, kadang kala membuatkan anak sulung terasa seperti dipinggirkan. Padanya adik itu seakan-akan mengambil tempat di hati, perhatian dan kasih sayang mama dan papa darinya.

Lantas, ada yang berubah sikap dengan kehadiran adik. Kerana mereka kanak-kanak, komunikasi verbal mereka terhad, perubahan kelakuan adalah signal untuk mereka menyatakan apa yang terbuku di hati.

Apatah lagi, bila adik lahir terlalu dekat dengannya. Pada mama dan papa, kasih sayang tidak luak walau setitik pun tetapi anak sulung mungkin tidak beranggapan begitu.

Bagaimana mengendalikan anak sulung kita ini? Mungkin tips yang saya kongsikan ini boleh membantu:

  1. Sekiranya kita bekerja, dan anak-anak kita tinggal di rumah pengasuh, apabila menjemput anak-anak balik, pastikan kita panggil dan dapatkan anak kita yang sulung dulu. Apa-apa pun, dia dulu yang kita peluk dan cium. Katakan padanya yang kita rindukan dia. Tanyakan apa dia buat hari ini. Kemudian, barulah kita dapatkan adik. Adik kan masih bayi, dia masih belum mengerti sangat apa-apa, tetapi kakak atau abang itu sudah mampu memahami tindakan dan perbuatan kita. Tidak kiralah kita mama atau papa, pastikan kita bagi perhatian kepada anak sulung dulu bila menjemputnya untuk pulang.
  2. Setiap hari, luangkan masa sekurang-kurangnya 15 ke 30 minit hanya dengan anak sulung kita. Tanpa ada gangguan adik. Jadi, katakan lah kita balik kerja jam 6, mama kena berikan masa 15 minit untuk anak sulung. Buatlah apa-apa aktiviti bersama. Contoh, main Playdoh, Lego, mewarna, atau apa sahaja aktiviti yang menyeronokkan. Atau kalau kita kesuntukan masa, kerana anak sulung kita itu macam mana pun mesti tidur awal, 15 ke 30 minit tu boleh digunakan untuk memandikan dia, dan meyiapkannya untuk tidur. Anak sulung kita mahukan perhatian dan pada masa ini, kita berikan dia apa yang dia perlukan untuk merasakan diri dia penting dan mama papa masih sayangkan dia walaupun ada adik. Semasa sesi tersebut, kerjasama dari papa sangat penting. Kerana papa kena tolong jagakan adik. Tidak boleh ada gangguan dari adik. Masa inilah papa ambil masa bersama dengan adik.
  3. Papa pun mesti lakukan perkara yang sama. Luangkan masa 15 ke 30 minit bersama dengan anak sulung kita itu. Dan mama berikan konsentrasi kepada adik.
  4. Apa yang kita nak tunjukkan pada anak sulung kita itu, dia tidak perlu pun berkelakuan tidak sopan untuk mendapatkan perhatian. Kerana kita sudah berikan perhatian yang dia perlukan.
  5. Untuk surirumahtangga, walaupun kita rasa kita ada di rumah sepanjang hari, sebenarnya perhatian kita terbahagi kepada berbagai-bagai tugas dan antara anak-anak. Curilah sedikit masa yang terhad itu, mungkin semasa adik sedang tidur, atau apabila papa sudah pulang ke rumah untuk membantu menjaga adik, untuk meluangkan masa seperti yang saya jelaskan tadi.

Semoga dengan masa yang kita sudah berikan pada anak sulung kita, berkuranglah dia membuat onar dan berkelakuan yang kita tidak senangi.

Sumber: Facebook Perkongsian Macam-Macam Maklumat

Tinggalkan Komen

Previous
Next Post »
loading...