Bila bayi anda sudah mula belajar berjalan dan jatuh, dia memang berisiko untuk kerap terjatuh. Terjatuh tanpa kesan luka atau kecederaan adalah perkara normal sepanjang tempoh tumbesaran seorang anak tetapi jika terlalu kerap terjatuh sehingga ada benjol dan hentakan kuat di kepala, apakah kesannya terhadap si kecil?
Siapa yang tidak risau apabila anak terjatuh dan menangis kesakitan. Lagi bimbang bila kesan terjatuh meninggalkan benjol atau mengakibatkan kecederaan sampai berdarah.
Tetapi sebelum itu ibu ayah perlu faham mengenai kesan-kesan hentakan kepala supaya dapat membuat perbezaan antara hentakan yang serius dan hentakan yang tidak serius supaya langkah-langkah rawatan yang betul dapat diambil.
1. Lapisan kepala terbahagi kepada kulit, tengkorak dan otak. Apabila ada hentakan atau trauma ke kepala ia boleh menyebabkan kecederaan kepada kulit, tengkorak atau/dan otak.
2. Apabila hentakan berlaku, kulit mungkin terkoyak dan menyebabkan pendarahan tetapi jika luka tersebut besar dan melibatkan salur darah yang besar ia boleh menyebabkan pendarahan yang serius.
3. Selain luka ada juga kecederaan kulit kepala yang disusuli dengan benjol sahaja. Benjol boleh disebabkan oleh bengkak pada kulit atau pun pendarahan di bawah kulit di mana darah berkumpul antara kulit kepala dan tengkorak. Ia bermakna pendarahan itu berada di luar otak dan tidak akan menghimpit otak kerana dihalang oleh tengkorak.
4. Benjol di kepala yang disebabkan oleh pendarahan di bawah kulit biasanya akan hilang dengan sendirinya dan boleh memakan masa hingga 1-2 minggu.
5. Kecederaan kepada tengkorak dan otak mempunyai kesan yang lebih serius berbanding kecederaan kepada kulit sahaja dan kedua-duanya boleh berlaku tanpa apa-apa kesan kepada kulit.
6. Jika ada hentakan kepala dan dari segi luarannya mangsa tidak ada luka atau benjol atau apa-apa tanda kecederaan, bukan bermaksud tidak ada pendarahan atau kesan kepada otak.
7. Apabila ada keretakan kepada tengkorak ia bermaksud hentakan yang berlaku sangat kuat dan ada risiko jangkitan kerana kuman boleh masuk melalui retak di tengkorak ke otak.
8. Kecederaan ke otak boleh berlaku dengan pendarahan dalaman otak bergantung kepada di mana hentakan berlaku, pendarahan dalaman otak boleh berlaku di mana-mana bahagian dalam otak.
Antara simptom-simptom pendarahan dalaman otak atau kecederaan kepada otak:
– Pengsan selepas trauma.
– Otot menjadi lemah atau sebahagian/semua anggota badan tidak boleh bergerak.
– Amnesia/hilang ingatan.
– Keliru.
– Sakit kepala dan sakit mata apabila terdedah kepada cahaya.
– Sawan.
– Muntah lebih dari sekali.
– Tidak dapat bercakap dengan betul atau muka menjadi senget sebelah.
– Darah atau cecair keluar dari hidung atau telinga.
– Mata hitam tidak sama saiz.
– Penglihatan kabur atau nampak objek lebih dari satu.
Jika ada simptom-simptom ini janganlah berlengah lagi untuk membawa anak ke hospital yang berdekatan. Jika doktor sudah memeriksa anak dan membenarkan anak di bawa pulang, kebiasaanya doktor akan memberi nasihat untuk memerhatikan anak sekurang-kurangnya dalam 24 jam yang pertama untuk tanda-tanda seperti di atas.
Sekiranya anak anda tidak ada tanda simptom tersebut, kemungkinan berlaku pendarahan dalam otak sangat tipis tetapi proses pemulihan daripada hentakan tersebut mengambil masa yang lama sehingga berminggu bahkan ada yang berbulan. Bagaimanapun mangsa tidak akan mengalami sebarang kesan jangka panjang walaupun proses pemulihan mengambil masa yang lama.
Rawatan segera
a. Jika berlaku pendarahan akibat luka anak terjatuh, anda perlu segera menghentikan pendarahan kerana kesan serius boleh berlaku kepada mangsa jika hilang darah dengan banyak. Apa yang perlu dilakukan sekiranya terdapat luka pada kulit selepas hentakan ialah dengan mengenakan tekanan pada luka dengan menggunakan kain yang bersih. Jika pendarahan tidak berhenti atau luka agak besar, terus bawa mangsa ke klinik atau pusat kesihatan yang paling dekat sambil meneruskan tekanan terhadap luka tersebut.
b. Benjolan yang berlaku selepas terjatuh akan meninggalkan rasa sakit dan mungkin lebih sakit jika benjol tersebut ditekan. ‘Cold compress’ atau tuaman sejuk boleh mempercepatkan benjolan tersebut reda/kurang.‘Hot compress’ atau tuaman panas boleh mengurangkan sakit tetapi harus disusuli dengan tuaman sejuk kerana panas akan menyebabkan cecair tisu bertambah dan bengkak. Darah beku tersebut akan perlahan-lahan diserap balik ke tisu sekeliling dah benjolan/bengkak akan surut dan hilang.
c. Memberi Paracetamol sahaja jika perlu ubat untuk mengurangkan sakit. Tidak disarankan untuk memberi ubat dari kategori NSAID (‘Non-Steroidal Anti Inflammatory Drugs’) seperti Ibuprofen (Brufen, Bifen, Buprol-B, Ibufac, Nurofen) atau Diclofenac (Cataflam, Voren).
Sumber: doktorbudak.com