loading...

Anak Terkena Air Atau Minyak Panas Jangan Sapu Benda Pelik-Pelik, Takut Terkena Jangkitan!

Dapur adalah ruang paling berbahaya buat anak-anak kecil kita. Walau dah perhatikan anak 24 jam, bila satu-satu perkara itu terjadi diluar bidang kuasa kita, kita tak mampu nak mengelaknya. Risiko anak melecur seperti terkena minyak dan air panas mudah berlaku tanpa kita duga.

Bila dah jadi macam ni, mama jangan panik tetapi berusaha untuk tambah pengetahuan. Salah satu perkara yang ibu perlu elak lakukan adalah meletakkan pelbagai benda lain pada kulit anak.

Menurut Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan, menyapukan pelbagai benda asing pada kulit hanya akan membuatkan kulit bertambah teruk. Jadi jika anak atau ahli keluarga terkena lecuran minyak atau air panas, elakkan beberapa perkara ini. Mama kena tahu ni.

Elak Sapu Macam-Macam


Jika anda mengalami kelecuran, jangan letak ubat gigi, minyak gamat, tepung, kicap, telur dan sebagainya di kawasan lecuran.

Ia boleh menyebabkan inflamasi yang lebih teruk dan berisiko terkena jangkitan.

Melecur pada kulit di bahagikan kepada 3 tahap:

?Tahap 1: lecuran lapisan epidermis sahaja. Lapisan dermis tidak tercedera. Kulit kelihatan kemerah-merahan, dan sakit.

?Tahap 2: lecuran lapisan epidermis dan sebahagian dermis. Lazimnya kulit kelihatan merah dan menggelembung (blister) dan sakit.

?Tahap 3: lecuran epidermis, dermis dan lebih dalam. Kulit kelihatan putih dan tidak sakit kerana saraf deria sakit telah rosak.

Rawatan kecemasan awal betul adalah:

1. Jauhi diri atau mangsa daripada sumber bahaya (api/pemanas/air panas/elektrik/dsb). Kekal tenang, tak usah panik.

2. Tanggalkan semua barang kemas, jam, serta pakaian yang terbakar. Kecuali jika ia terlekat pada kawasan lecuran.

3. Alirankan air bersih bersuhu bilik selama 15-20 minit untuk hentikan lecuran daripada terus berlaku. Elak gunakan air sejuk atau ais.

4. Jika terdapat gelembung pada kulit yang melecur, tak usah pecahkan gelembung berkenaan. Hanya tutup dengan kain bersih.

5. Jumpa doktor sekiranya lecuran tahap 2-3, kawasan lecuran lebih besar daripada tapak tangan atau melibatkan muka serta kemaluan.

Tak usah mudah percaya pada tips kesihatan yang tidak diketahui sumbernya.

Semoga bermanfaat.

Tinggalkan Komen

Previous
Next Post »
loading...