Oleh : Saadah Latib
KUALA LUMPUR: Cadangan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan yang mengutarakan agar UMNO bertanding atas tiket sendiri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dipersetujui oleh Timbalan Ketua Bahagian Setiawangsa, Dato’ Irwan Rizal Mohd Ali Napiah.
Menurut Irwan, sebagai individu yang berpengalaman dalam parti dan yang baru dilantik sebagai Timbalan Presiden UMNO sudah tentu Mohamad Hasan mempunyai strategi yang tersendiri untuk menarik kembali sokongan rakyat kepada UMNO.
Walaupun menempuh kekalahan pertama sejak 60 tahun pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, namun UMNO sebagai parti yang merupakan tonggak kepada Barisan Nasional (BN) dilihat masih kekal teguh memperjuangkan kepentingan rakyat.
“Pada PRU-14 kita (BN) kalah… namun kita perlu lihat UMNO itu masih relevan, kerana kita telah memenangi kerusi tertinggi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.
“Kalau ditanya kenapa tidak menggunakan logo Barisan Nasional (BN)? Sebenarnya, kita bukan mahu menguburkan BN kerana kita masih ada rakan-rakan komponen (MCA dan MIC) yang lain,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Tambah beliau, sekiranya hasrat UMNO untuk bertanding atas tiket sendiri mendapat lampu hijau daripada rakan-rakan seperjuangan di dalam BN ini menunjukkan MCA dan MIC mengamalkan sikap matang dalam berpolitik.
“Ini adalah salah satu permulaan kepada penyatuan dalam kalangan keluarga BN…kerana berlakunya kompromi (sekiranya BN bersetuju), ini menunjukan sikap toleransi yang baik.
Tambah Irwan, walaupun menggunakan logo UMNO namun pemimpin-pemimpin UMNO tidak akan sesekali meninggalkan rakan-rakan komponen yang lain.
“Tidak akan sesekali meninggalkan dan melupakan perkara ini ( rakan-rakan BN), konsep ini kita perlu zahirkan agar mereka faham kenapa kita nak guna logo UMNO,” ujarnya.
Sebelum ini bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohamad Hasan ada mencadangkan untuk UMNO meletakkan calon dari parti itu bertanding pada PRK Sungai Kandis namun bergantung kepada hasil perbincangan mesyuarat peringkat tertinggi BN.