loading...

Doktor Kata Si Kecil Mungkin Ada Resdung Kalau Asyik Gosok Hidung, Mata Atau Kerap Bersin!

Siapa sangka yang si kecil pun boleh ada resdung. Kalau anak anda asyik gosok hidung, mata, bersin dan selesema mungkin itu tanda-tanda dia menghidap penyakit allergic rhinitis atau resdung.

Ramai yang memandang mudah tentang penyakit ini walaupun ia boleh mendatangkan bahaya kepada penghidapnya terutama kanak-kanak. Ini kerana jika dibiarkan berlarutan, ia boleh membawa kepada penyakit sinusitis.

Menurut Dr Khairuzzana Baharudin, Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Hospital Pantai Ampang allergic rhinitis yang tidak dirawat lebih awal akan mengakibatkan pelbagai masalah kesihatan seperti berikut:

1)Sekiranya selaput membran di dalam rongga sinus bengkak dan rongga tersumbat, ia akan mengakibatkan pelbagai komplikasi masalah kesihatan dan kuman boleh merebak hingga kepada bahagian mata dan telinga serta bahagian tekak apabila nanah mengalir ke bahagian tersebut.

2) Apabila kuman merebak ke bahagian telinga, ia akan menyebabkan telinga berdengung dan mengganggu pendengaran. Jika tiada rawatan segera, selain nanah meleleh keluar, nanah yang terkumpul boleh memecahkan gegendang telinga kanak-kanak berkenaan.

3)Sekiranya jangkitan pada telinga tengah, ia boleh menyebabkan kehilangan pendengaran.

4)Jika ia merebak ke otak yang akan menyebabkan meningitis (jangkitan selaput otak).

5)Menyebabkan jangkitan sellulitis dan merah pada bahagian mata yang akhirnya boleh menyebabkan risiko buta. Namun keadaan ini adalah amat jarang berlaku.

Apakah Resdung atau Sinus?

Sinus merupakan rongga-rongga di dalam tulang muka yang bersambung ke hidung melalui saluran-saluran yang sangat kecil. Sinus ini terletak pada bahagian muka, pipi di bawah mata, di antara dua mata, hanya sedikit di belakang hidung dan turut meliputi bahagian dahi seseorang.

Penyakit sinusitis mulai berlaku apabila mukus seperti hingus tidak dapat mengalir keluar dengan baik melalui rongga-rongga tersebut.

Biasanya, dengan bantuan silia atau dikenali sebagai “penyapu-penyapu” kecil dalam sinus akan menolak mukus keluar dari sinus ke dalam hidung.

Tetapi apabila ia tidak berfungsi dengan baik, laluan hidung akan tersumbat dan lendir ini akan berkumpul. Kuman (bakteria atau virus) boleh membiak di dalam rongga sinus ini.

Ini menyebabkan terhasilnya nanah dan pembengkakan di dalam lapisan hidung yang mengakibatkan anak mendapat sinusitis.

Lazimnya, sinusitis disebabkan oleh jangkitan bakteria yang akan berakhir dalam beberapa hari. Ianya bermula dengan selesema yang berlarutan diikuti dengan demam dan kesesakan dalam sinus yang akhirnya membawa kepada jangkitan sinus oleh bakteria.

Tinggalkan Komen

Previous
Next Post »
loading...