loading...

Apabila Bayi Masuk 6 Bulan, Mula Belajar Makan Jenis Makanan Ini Patut Diperkenalkan

Bayi berusia enam bulan sudah sepatutnya diperkenalkan dengan makanan pejal. Sebaiknya ibu masak sendiri makanan bayi daripada bahan yang berkhasiat. Selain menyihatkan kebersihan dan keselamatan makanan lebih terjamin.

Tentu pada peringkat permulaan, ibu pening kepala apa bahan yang patut diperkenalkan terlebih dahulu. Memang ada banyak cadangan bahan makanan yang patut diperkenalkan tetapi senarai makanan berikut adalah yang paling berkhasiat dan mesti diberi kepada bayi dalam bentuk puri.

Kentang

Bagi bayi berusia enam bulan yang baharu mengenal makanan pertama, ibu boleh beri puri kentang. Tekstur kentang yang lembut membantu anak mudah memakannya. Kentang juga kaya dengan karbohidrat, vitamin C dan B kompleks yang membantu penyerapan karbohidrat. Kentang mudah dihadam dan ini dapat mengelakkan bayi menghadapi masalah penghadaman.

Ubi keledek

Ubi juga boleh menjadi makanan pertama bayi kerana mengandungi khasiat yang diperlukan badan seperti vitamin A, beta karoten dan potasium yang tinggi. Bahkan ia juga kaya dengan vitamin E, kalsium, serat yang baik untuk proses penghadaman.  Rasanya yang lemak manis juga pasti digemari oleh si comel anda.

Jagung

Jagung juga terkenal sebagai bahan makanan kaya dengan karbohidrat. Ibu boleh membuat bubur jagung manis atau dikisar sebagai puri. Jagung juga mengandungi kalsium dan fosfor yang penting untuk pertumbuhan tulang dan gigi, kaya vitamin A dan B1 yang diperlukan oleh badan. Maka sumber vitamin A yang baik untuk kesihatan mata bayi bukan hanya diperoleh daripada lobak merah sahaja.

Pisang

Keenakan lemak manis pisang pasti digemari oleh bayi. Pisang kaya dengan kalium dan vitamin B. Kandungan vitamin dan mineral yang terdapat dalam pisang lebih baik dibandingkan dengan buah dan sayur lain. Jika dibandingkan dengan epal, pisang mengandungi empat kali lebih banyak protein, dua kali lebih banyak karbohidrat dan lima kali lebih banyak vitamin A dan zat besi.

Labu

Labu disarankan diberi sebagai makanan pejal pertama bayi kerana ia kaya dengan serat baik untuk penghadaman dan memiliki tekstur yang lembut. Ia mengandungi banyak khasiat seperti vitamin A, B, C, beta karoten, kalsium, zat besi, folat dan protein.

Tinggalkan Komen

Previous
Next Post »
loading...