Anak hebat ini pernah viral di media sosial gara-gara aksinya bersilat bersama ayahnya di sebuah majlis. Aksi Ahmad Danish Danial Salihen yang baru berusia 3 tahun ketika itu ternyata mencuit hati semua penonton.
Kini Danish sudahpun berusia 6 tahun dan telah pun memasuki alam persekolahan. Kata ayahnya, Salihin Sarbini, 35 tahun yang juga merupakan Naib Pengerusi Pertubuhan Seni Silat Gayung Cula Sakti Malaysia, bakat anaknya mula dikesan sejak berusia 9 bulan.
“Danish ketika itu dalam stroller. Seingat saya dia baru berusia 9 bulan dan bila dipasangkan dengan lagu pencak silat, dia hayunkan tangannya sama seperti gerakan silat.
Dan bila dia sudah boleh berjalan ketika usianya 1 tahun, dia sudah mula mengikut gerak langkah silat. Jujurnya ketika dia dalam kandungan lagi saya dan isteri selalu bawa dia ikut ketika saya mengajar silat. Mungkin daripada situlah dia sudah terbiasa dengan lagu, kiraan dan gerak langkah,” kata guru silat yang berpengalaman lebih 23 tahun ini.
Bukan itu sahaja malah lebih hebat lagi anak kecil ini bijak menggabungkan seni langkahnya sendiri tanpa diajar oleh sesiapa, hanya berdasarkan apa yang dilihatnya sahaja. Bakat semulajadi yang dimiliki oleh anak kecil ini sentiasa menjadi dambaan semua penonton yang melihatnya.
“Saya memang tak pernah ajar Danish apa-apa, dia tengok sahaja dan gabungkan sendiri bunga-bunganya dengan langkah dan setakat ini gabungannya tak pernah salah.
Pertama kali Danish minta pada saya untuk buat persembahan silat dikhalayak ramai adalah pada majlis perkahwinan saudara saya. Saya terkejut kerana dia anak yang pemalu tetapi dia yakin untuk buat persembahan. Dan itulah permulaannya. Bila penonton bertepuk tangan dan bersorak ketika persembahan, dia bertambah seronok dan beritahu saya dan isteri untuk buat persembahan lagi.
“ Persembahan Danish di Pertandingan Silat Seni Sekolah-Sekolah Daerah Gombak pada tahun 2016 yang jadi viral pun sebenarnya tak dirancang. Ketika menunggu keputusan pertandingan, penganjur minta Danish untuk buat persembahan selingan dan tak sangka pula dia mahu.
Sejak itulah bakat Danish mula dilihat oleh semua orang. Setiap bulan ada sahaja undangan untuknya termasuklah membuat persembahan di hadapan menteri serta VVIP dan tak kurang juga kejohanan besar seperti Kejohanan Sukan Selangor dan sebagainya. Ini termasuklah majlis-majlis perkahwinan dan keraian lain. Bukan di Lembah Klang sahaja, bahkan Danish juga sering menerima jemputan di seluruh negeri.
Sukakan Cabaran
Bagi memperkukuhkan lagi bakat yang ada, ketika usianya 5 tahun, ayah dan ibunya, Nor Zakiah Mohd Zaki sepakat untuk memasukkan Danish ke kelas silat yang sebenar.
“Selama ini dia gabungkan sendiri bunga dan langkah mengikut gerak hatinya dan kini dia sudah mula pandai. Saya mahu dia belajar dan tahu silibus seni silat gayung yang sebenar untuk menambah kemahiran yang ada. Bukan berguru dengan saya tetapi dengan rakan saya. Saya nampak Danish lebih berdisiplin dan tahu dengan apa yang dipelajarinya.
Kalau diikutkan Danish sebenarnya anak yang pemalu dengan orang lain tetapi bila membuat persembahan, karektornya terus bertukar dan inilah yang membuatkan saya kagum dengannya. Di rumah juga dia merupakan abang yang sangat melindungi adiknya, Nur Dhiya Kayyisa, 1 tahun 11 bulan.
Malah sejak mula belajar silat secara serius saya nampak sikapnya yang lebih berdisiplin dan pandai berdikari. Dia tahu bila mana dia kena pergi sekolah, siapkan kerja sekolah dan jalani latihan setiap hujung minggu tanpa diberitahu oleh saya dan isteri,” katanya.