Perpisahan yang terjadi antara Bella Astillah & Aliff Aziz, ramai yang tertumpu kepada si kecil Ayden, bimbang anak ini akan terpisah dan terkurang kasih sayang.
TIDAK SESEKALI MEMUTUSKAN HUBUNGAN AYAH DENGAN ANAK
Sebagai ibu, Bella Astillah menegaskan untuk tidak akan sesekali memutuskan hubungan ayah dengan anaknya, walaupun mereka sudah berpisah.
Katanya Bella, Aliff dan keluarganya tidak perlu takut kerana apa juga yang terjadi. Aliff tetap ayah kepada anak tunggal mereka, Mohamad Ayden Adrean.
“Jangan bimbang, saya tidak membenci Aliff, malah dia tetap ayah anak kami. Saya takkan jauhkan dia dengan Ayden,” katanya.
Semalam, Aliff melafazkan cerai talak satu terhadap Bella atau nama sebenarnya, Dayang Nabellah Awang Astillah, 25, di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini.
Permohonan cerai itu difailkan Bella selaku plaintif pada 21 Mac lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan dikurniakan seorang cahaya mata.
TIDAK BERDENDAM, PERBUATAN ALIFF SUDAH DIMAAFKAN
Ditanya sama ada dia berdendam dengan pelakon dan penyanyi itu, Bella berkata, segala perbuatan Aliff terhadapnya sudah dimaafkan.
“Dia pernah menjadi sebahagian daripada hidup saya. Saya maafkan dia berulang kali kerana kita manusia biasa.
“Kalau saya yang bersalah, saya tentu mahu dimaafkan. Namun, sebagai manusia, jauh di sudut hati saya tetap sedih.
DOAKAN ALIFF BERUBAH MENJADI LEBIH BAIK
“Cuma harapan saya, perpisahan ini dapat mengubah Aliff dan menjadikan dirinya lebih baik. Kita doa yang baik-baik,” katanya.
PERPISAHAN TIDAK MENJARAKKAN HUBUNGAN BAPA & ANAK
Sementara itu, ibu Aliff, Siti Hafiza Sheikh Mohamad pula menulis tanda pagar, #tiadatalakantaraayahdananak menerusi entri di laman sosial, sekali gus mengharapkan, perpisahan tidak menjarakkan hubungan Aliff dengan anaknya.
Katanya, di sebalik ujian dan kesukaran yang dilalui, kehadiran Ayden, 2, disifatkan sebagai kurniaan terbaik Allah.
“Ayden sentiasa menjadi cahaya hidup kami, walaupun tidak dapat bertemunya dengan lebih kerap pada masa akan datang.
“Umi Wan dan Tok Ayah akan sentiasa mendoakan Ayden dari jauh supaya menjadi insan yang hebat nanti. Kami semua sayang Ayden, terutama Daddy (Aliff). Semoga Ayden membesar dengan sihat dan sentiasa bahagia,” luahnya di Instagram.
Dalam entri yang dikongsi itu, selain tanda pagar #tiadatalakantaraayahdananak, dia turut meletakkan #tiadatalakantaracucudanatuksertaninda bersama gambar cucunya.
Sumber: Berita Harian
Artikel berkaitan:[Ayden Sempat Bersalam & Beri Lambaian Sayu Buat Aliff. Bella Astillah Dan Aliff Aziz Sah Bercerai] [“Tiada Talak Antara Anak & Ayah” Ibu Aliff Aziz Akhirnya Meluahkan Perasaan]