Adik Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, yang menghidap kanser mulut Germ Cell Tumor’ yang kini berada di London dan sedang menerima rawatan di sebuah hospital kanak-kanak di London dilaporkan dalam keadaan sihat.
Berita baik itu dikongsi bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, menerusi laman Facebooknya.
“Ainul sihat hari ini. Baru lepas mandi,” katanya ringkas yang turut disertakan sekeping gambar Ainul Mardhiah bersama ibunya, Nurul Erwani Zaidi.
Menurut Safiuddin, perkembangan Ainul akan diberitahu dari semasa ke semasa kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa bagi semangat dan mendoakan anaknya sepanjang masa.
“Walaupun sebelum ini ramai yang tak mengenali Ainul tapi sokongan dan bantuan yang diterima tak putus hingga membolehkan Ainul menerima rawatan dengan pakar,” katanya.
Pengguna Facebook yang mengikuti perkembangan si kecil ini telah memberi kata-kata semangat kepada Ainul Mardhiah dan kedua ibu bapanya pada perkongsian status berkenaan.
Dalam laporan media sebelum ini memberitahu beberapa doktor pakar dijangka melawat dan membuat penilaian ke atas Ainul Mardhiah minggu ini.
Doktor dalam kalangan pakar onkologi pediatrik akan berbincang bagi mencari jalan terbaik merawat bayi itu.
Sama-samalah kita doakan agar ada satu keputusan terbaik buat Ainul Mardhiah yang akan memberi kegembiraan buat seluruh ahli keluarganya dan rakyat Malaysia.
Semoga di hari-hari terakhir Ramadan ini seluruh doa orang ramai akan diangkat oleh Allah dalam usaha untuk menyembuhkan anak syurga ini.
Sumber: Ahmad Safiuddin