loading...

Tragedi Kebakaran Berulang: 27 Tahun Lalu 27 Pelajar Perempuan Terkorban

Kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada 14 September lalu yang mengorbankan 23 orang pelajar lelaki dan warden bukanlah satu-satunya tragedi hitam yang pernah terjadi dalam negara ini.

Pada 22 September 1989, asrama Sekolah Menengah Agama (SMA) Taufikiah Khairiah Al-Halimiah atau lebih dikenali sebagai Pondok Pak Ya telah terbakar sehingga mengorbankan 27 orang pelajar perempuan termasuk kanak-kanak.

Kira-kira pukul 2 pagi, ketika para pelajar lena tertidur, sebatang lilin telah terjatuh lalu membakar tilam. Api merebak dengan cepat dan tidak terkawal, sehingga memusnahkan lapan buah blok asrama kayu perempuan.

Kebakaran ini telah mengorbankan 27 orang pelajar perempuan. Sementara itu 6 lagi berjaya menyelamatkan diri tetapi mengalami kecederaan lecur dan patah pinggang.

Semua jenazah telah dikebumikan di tanah perkuburan khas yang dinamakan “27 Syuhada Peristiwa Kebakaran Pondok Pak Ya.”

Salah seorang mangsa yang terselamat Hartini Awang yang kini bekerja di Jabatan Perangkaan Sungai Petani mendakwa, dia nekad meredah api untuk menyelamatkan diri sehingga mengalami lecur tangan dan muka.

“Selepas berjaya keluar dari asrama itu saya melihat semua lapan bangunan asrama yang kami tinggal terbakar,” ujarnya.

Sementara itu seminggu sebelum kejadian, salah seorang korban Maryani Lebai Hassan yang merupakan anak bongsu dalam keluarganya sempat meminta duit belanja kerana tidak dapat balik ke rumah.

“Saya masih ingat seminggu sebelum kejadian arwah minta duit belanja kerana dia tak dapat balik ke rumah kami di Sungai Ibor, Gurun,” kata Yusof Lebai Hassan abang arwah.

Selepas 27 tahun 11 bulan 22 hari, tragedi yang memakan korban 27 orang pelajar perempuan telah berulang lagi. TAPI kali ini mengorbankan 23 orang pelajar lelaki dan warden. Kebakaran asrama khususnya tahfiz memang banyak kali berlaku.

Sepatutnya semua pihak harus mengambil ikhtibar terhadap kejadian ini. Tidak kira sama ada kejadian disebabkan oleh kecuaian, khianat, kelemahan urus tadbir dan teknikal tempat tinggal, yang penting pastikan standard bangunan adalah selamat.

Bekalkan dengan alat pemadam api, pintu kecemasan, pendawaian sempurna, kawalan keselamatan sekitar dan peraturan ketat larangan penggunaan alat yang boleh mencetuskan api.

Semoga musibah seperti ini tidak akan berlaku lagi!

Comments

comments

Previous
Next Post »
loading...