loading...

Pusat Tahfiz Digesa Rujuk PBT Pelan Pembangunan

MELAKA – Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron menggesa agar semua pusat tahfiz negeri ini mendapatkan nasihat pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan premis mereka mematuhi pelan pembangunan terutama melibatkan aspek keselamatan.

Beliau berkata langkah itu perlu, bagi mengelakkan tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur semalam yang mengorbankan 21 pelajar dan dua guru, daripada berulang.

“Saya meminta agar Jabatan Kesihatan dan Pekerjaan negeri, PBT, Jabatan Agama Islam Melaka, Jabatan Pendidikan Melaka, Jabatan Pendidikan daerah serta Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri untuk turut sama terlibat (bagi proses) pemutihan pusat tahfiz yang terdapat di negeri ini.

“Mereka perlu mengambil langkah proaktif dan membuat satu laporan terperinci bagi setiap pusat tahfiz di Melaka agar sekiranya berlaku sebarang kemalangan, sekurang-kurangnya kita sudah bersedia untuk berdepan dengan masalah yang timbul,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Pelancaran Bulan Kebajikan peringkat negeri di Pusat Transformasi Bandar, Jalan Hang Tuah di sini hari ini. Turut hadir Exco Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan Melaka Datuk Latipah Omar serta Speaker Dewan Undangan negeri Datuk Othman Muhamad.

Idris berkata kesemua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) telah diarahkan membuat laporan berhubung pusat-pusat tahfiz yang berada di kampung bagi memantau segala keperluan pusat tersebut.

“Sekurang-kurangnya, sesebuah pusat tahfiz itu mesti ada pemadam api. Kita juga nak pastikan pusat-pusat tahfiz ini mempunyai langkah-langkah perlindungan dan pencegahan kebakaran serta pelan kecemasan bagi memastikan ia dapat beroperasi dengan baik dan memenui piawaian yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata negeri ini mempunyai 28 pusat tahfiz yang telah berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Melaka manakala 11 lagi pusat tahfiz masih dalam proses pendaftaran.

Sementara itu, Idris mengumumkan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah bagi membantu meringankan beban mereka dalam aspek pengurusan kebajikan. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...