SEREMBAN – Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) akan menganjurkan program khas ‘Mengenang Pendeta Za’ba’ di Teratak Za’ba, Kampung Bukit Kerdas, Batu Kikir, Jempol pada Ahad ini.
Pemangku Pengarah LMNS Aziz Mohd Gorip berkata program khas itu bertujuan memperingati tarikh kelahiran Pendeta Za’ba, menghargai jasa dan sumbangan beliau dalam bidang bahasa dan persuratan Melayu serta menjadi antara aktiviti utama Teratak Za’ba.
Selain itu, program ini juga bertujuan memastikan perjuangan Pendeta Za’ba terus hidup subur dalam sanubari masyarakat khususnya di kalangan generasi muda hari ini dan akan datang, katanya di sini hari ini.
Aziz berkata program anjuran bersama LMNS, waris Pendeta Za’ba dan masyarakat setempat itu akan diisi dengan majlis Bedah Karya Za’ba ‘Asuhan Budi Menurut Islam’ oleh Pengarah Program Sekolah Pembangunan Kerja Belia (SPKB) Muhamad Hanapi Jamaludin, konvoi Quran Hour serta majlis bacaan Yasin dan tahlil untuk Allahyarham Pendeta Za’ba.
Pendeta Za’ba atau nama sebenarnya Zainal Abidin Ahmad yang dilahirkan di Batu Kikir, Jempol pada 16 September 1895, merupakan seorang sasterawan dan pemikir Melayu keturunan Minangkabau yang giat menulis sekitar tahun 1940-an.
Berdasarkan pencapaiannya dalam bidang kesusasteraan, beliau merupakan seorang daripada budak kampung yang berjaya meletakkan dirinya sebagai seorang tokoh yang terkemuka dalam sejarah Malaysia.
Allahyarham merupakan seorang cendekiawan Melayu yang dihormati dan selama hampir 40 tahun, aktif dalam kegiatan penulisan termasuk penterjemahan.
Aktiviti beliau juga tertumpu kepada penerbitan buku sekolah dan bacaan umum di Biro Penterjemahan, Maktab Perguruan Sultan Idris.
Pendeta Za’ba meninggal dunia pada 23 Okt 1972. – BERNAMA
Loading...