loading...

Kedah Catat Rekod Tanam Pokok Harumanis

BUKIT KAYU HITAM – Sebanyak 4,005 pokok mangga harumanis ditanam secara serentak di Ladang Kolej Pertanian Malaysia, Bukit Tangga di sini telah melayakkan Jabatan Pertanian Kedah mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR).

Pengiktirafan itu memecahkan rekod yang pernah dicatatkan pada 2015 di Perlis yang melibatkan sebanyak 2,000 pokok mangga harumanis yang ditanam secara serentak di 23 lokasi di atas tanah seluas 16.26 hektar.

Ketua Pengarah Pertanian Datuk Ahmad Zakaria Mohamad Sidek berkata program dengan kerjasama Bahagian Latihan Kemahiran Pertanian (BLKP), Kementerian Pertanian Industri Asas Tani itu mendapat penyertaan 2,000 peserta yang terdiri daripada pelajar kolej itu serta pegawai di jabatan serta agensi di bawah kementerian.

Sijil pengiktiran tersebut disampaikan Timbalan Pengurus Besar MBOR, Mohamad Alex Edward kepada Pengarah BLKP, Mohd Sufian Sulaiman sambil disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Pertanian Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Kebajikan Masyarakat negeri Datuk Suraya Yaacob.

Dalam pada itu, Suraya berkata kerajaan negeri berasa bangga apabila program yang diadakan Jabatan Pertanian itu mendapat pengiktirafan MBOR sekali gus menjadi pemangkin kepada tanaman mangga harumanis di negeri ini.

Beliau berkata kerajaan negeri akan melihat ke arah usaha untuk mengkomersialkan mangga harumanis selain mangga cokanan yang ditanam di Tobiar, Pendang.

“Cuaca di Kedah utara amat sesuai kerana ia terletak dekat dengan Perlis dan Thailand di mana kadar penurunan hujan rendah dan cuaca panas yang sesuai untuk tanaman mangga harumanis. Kita bukan nak bersaing dengan Perlis tetapi untuk meningkatkan kuantiti mangga harumanis,” katanya. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...