loading...

Banjir: Adun Minta Bantuan Kerajaan Pusat

GEORGETOWN – Adun Negeri Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo berharap kerajaan persekutuan dapat bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi mengatasi masalah banjir di negeri ini.

Beliau berkata, perkara itu perlu dilakukan kerana banjir memberi kesan kepada rakyat dan ia perlu ditangani segera tanpa mengira fahaman politik.

“Kita perlu bekerjasama untuk manfaat rakyat, tidak mahu tuding menuding jari antara satu sama lain. Rakyat yang kena banjir bukan dari Pakatan sahaja.

“Oleh itu kita perlu laksanakan segera projek Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sungai Pinang ,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Jagdeep yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Bandar, Desa dan Perumahan Negeri berkata pihaknya memohon agar kerajaan persekutuan mempercepatkan projek tebatan berkenaan.

“Sungai pinang adalah satu sungai yang besar di negeri ini yang merentasi terutamanya kawasan bandar DUN (Dewan Undangan Negeri) saya dan Sungai Pinang sudah dikenal pasti sejak tahun 1990-an oleh kerajaan persekutuan yang perlu dilaksanakan Rancangan Tebatan Banjir.

“Projek ini ada empat Fasa. Fasa 1 ialah pada 1999 di mana di muara sungai ini telah pun diperbesar dan diperdalamkan. Apabila Fasa 1 habis dilaksanakan, ia langsung tidak diteruskan,” katanya.

Dikatakan banjir kilat di beberapa kawasan di bandar raya ini Jumaat lepas adalah disebabkan Taufan Doksuri yang menyebabkan berlaku taburan hujan luar biasa.

Sebanyak 100 kawasan di lima daerah di Pulau Pinang ditenggelami air dan beberapa kawasan mengalami kejadian tanah runtuh. – Bernama

Loading...

Previous
Next Post »
loading...