Semua sedia maklum kegagalan skuad hoki negara untuk melayakkan Olimpik selepas tumpas dalam perlawanan perlawanan kelayakan Olimpik di London kepada Great Britain dengan aggregate 3-9.
Dalam media sosial ramai peminat yang memberikan komen kecewa dengan keputusan tersebut. Sebagai salah seorang penyokong pasukan hoki negara, kami di Ligakampung juga sedih dengan kegagalan tersebut tetapi perkara sudah berlaku. Sebenarnya peluang kita untuk layak ke Olimpik adalah pada Sukan Asia 2018 dimana kita hanya dipisahkan beberapa saat sahaja lagi untuk mencipta sejarah. Tetapi apakan daya, masa tidak boleh diulang semula. Memang kekecewaan itu terpahat pada para pemain terutama mereka yang beraksi dalam Sukan Asia tempohari.
Mengenang kembali pun tiada guna, yang penting terus ke hadapan. Menuding jari pada para pemain, jurulatih bukan satu tindakan yang baik. Sekarang ini, pihak berkaitan perlu bertanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan mencapai sasaran ini. Kita akui beberapa pemain veteran seperti S Kumar, Tengku Ahmad Tajuddin akan mengambil keputusan bersara. Malahan pemain seperti Razie Rahim, Sukri Mutalib juga dijangka akan menumpukan pada karier masing-masing selepas ini. Mereka mempunyai tanggungjawab lain selaku kakitangan awam dan dengan usia telah melepasi 30-an , sandaran jurulatih baharu mungkin kepada para pemain yang baharu.
Sebenarnya perkembangan hoki di Malaysia ini tidaklah tersusun. Meskipun Malaysia berada di ranking ke 11 namun jarang sekali kita lihat hoki dimainkan secara terbuka berbanding sukan bola sepak yang mempunyai futsalnya.
Kejurulatihan juga perlu menajamkan pukulan sudut penalti disamping memperkuatkan barisan serangan. Tidak boleh terlalu berharap kepada pukulan sudut penalti kerana setiap pasukan akan mengkaji kemampuan pakar kita.
Kami di Ligakampung.com berpendapat supaya sukan hoki dipromosikan di peringkat sekolah dengan lebih baik. Selain itu, Liga yang bertaraf professional mungkin dapat diperkenalkan. Sekarang ni, kebanyakan pemain adalah bertaraf semi professional. Mungkin ada beberapa sahaja pemain yang benar-benar bermain secara professional namun ramai yang tidak berjaya untuk mencapai tahap tersebut. Malahan, pemain yang bertaraf bintang pula ada mengalami kontroversi yang sedikit sebanyak mengusarkan mengenai tahap displin pemain.
Meskipun skuad hoki gagal pada Olimpik kali ini, namun putus asa bukanlah jawapannya. Pihak berkaitan termasuk Kesatuan Hoki Malaysia perlu mencari peluang dan ruang untuk memperbaikinya. Pihak yang sebelum ini telah berjanji untuk bertanggungjawab perlu menunaikan apa yang dikotakannya. Rasanya ramai yang faham apa yang kami nyatakan ini. Semoga sukan hoki akan terus maju dan mampu bangkit selepas ini.
Please follow and like us: