Biasanya ibu bapa akan simpan ubat demam dalam peti untuk digunakan ketika waktu kecemasan kerana beranggapan ia berguna jika tiba-tiba anak demam waktu malam. Namun perlu diketahui ubat demam yang disimpan dalam peti sejuk boleh mempercepatkan pertumbuhan bakteria dan merosakkannya.
Mesti ramai ibu bapa tak menyangka perkara ini kan kerana persoalan yang biasa di tanya adalah ‘Ubat sirap demam untuk anak-anak yang simpan dalam peti ais tu boleh tahan berapa lama ya’?
Bagi mendapat penjelasan lanjut mengenainya, Ahli Farmasi, Salinda Sopian ada jawapannya.
Ubat sirap paracetamol ataupun ubat demam sememangnya dibotolkan dengan saiz yang kecil, 60ml ataupun 100ml sahaja. Ianya hanya untuk kegunaan sekali untuk seorang pesakit.
Contohnya, sekiranya dos 5ml 4 kali sehari maka ubat tersebut akan habis selepas 3 hari.
Ubat sirap demam tidak sepatutnya disimpan. Sekiranya masih banyak ubat yang berbaki, maka ubat tersebut boleh disimpan di tempat kering pada suhu bilik selama 1-2 bulan daripada tarikh ia dibuka.
Sekiranya hendak menyimpan ubat demam sebagai persediaan, seeloknya dapatkan ubat yang baru dan simpanlah di tempat yang kering pada suhu bilik dan bukan di dalam peti sejuk.
Ubat yang telah dibuka akan dimasuki oleh udara biasa yang mengandungi bakteria dan kulat. Apabila disimpan di dalam peti sejuk, udara tersebut akan menjadi wap air melalui proses kondensasi.
Wap air biasanya berkumpul pada penutup botol di bahagian dalam. Wap air ini menjadi tempat pembiakan bakteria dan kulat. Lama-kelamaan ia akan bercampur dengan ubat dan merosakkan ubat tersebut.
Jadinya, tak perlulah simpan ubat sirap demam yang telah dibuka di dalam peti ais berbulan-bulan malahan bertahun-tahun lamanya.
Tanggapan simpan ubat sirap demam dalam peti ais untuk lebih tahan lama adalah tidak betul.
Belajar sesuatu? Bukan tak berjimat tapi untuk selamat!
Kredit: Salinda Sopian (pharmacist)