Normal jika ibu hamil berasa teruja untuk membuat ujian imbasan. Yalah, mahu juga tahu macam mana keadaan anak di ‘dalam’ tu kan? Apabila anda berkunjung ke klinik kesihatan mahupun hospital, ada masanya doktor tidak akan melakukan ujian ini terhadap anda. Jangan pula kata doktor itu pemalas.
Dr Muhammad Izzat Abdul Razak, Pegawai Perubatan Kesihatan Wanita & Kehamilan menerangkan tentang keperluan melakukan ujian imbasan ini. Tidak perlulah selalu, ada masa-masa penting yang perlu dititikberatkan. Ikuti apa penjelasan dari Dr Izzat berkaitan hal ini.
“ Eh, kenapa tak scan pun hari ini? Jumpa doktor A minggu lepas dia buat scan. Jumpa doktor B minggu ni tak scan pun.
Memang sah, doktor B PEMALAS, makan GAJI BUTA! “
Macam ni pun ada? Meh saya nak terangkan sikit mengapa dan bila perlu scan baby 👶🏻
Artikel MenariK: [Mulut Bersih, Gigi Elok Boleh Buat Wanita Lebih Subur. Suami Pun ‘Mendekat’]
Scan dicadangkan ketika 3 peringkat kehamilan iaitu :
✏️Trimester pertama ( 11-14 minggu )
– untuk confirmkan tarikh dijangka bersalin, dan menentukan minggu kehamilan
– melihat tumbesaran bayi pada trimester pertama
– nak mengenalpasti sama ada kehamilan kembar atau tiga atau lebih
Masa scan ni, boleh nampak dah kepala bayi, tulang belakang, tangan, kaki, denyutan jantung. Bila nampak bahagian-bahagian penting ini, kita boleh menghela nafas lega kerana bayi yang dikandungnya sekarang boleh dikatakan normal. Kadang-kadang scan biasa ( melalui perut ibu) tidak berapa jelas, perlu melakukan scan dari bawah ( transvaginal) untuk mendapatkan imej yang jelas kerana ianya berhampiran dengan rahim.
Masa buat scan ini, untuk ibu yang berisiko, akan dicadangkan untuk ukur ketebalan cairan terdapat pada belakang leher bayi – Nuchal translucency (NT). Dengan kombinasi NT mahupun ujian darah mampu meramalkan risiko bayi menghidap sindrom Down.
Kalau kembar pula, jenis uri perlu dikenalpasti samada kembar berkongsi uri yang sama atau uri yang berbeza. Follow up berbeza untuk jenis-jenis kembar yang berlainan.
✏️Detail scan ( 18-22 minggu)
Scan ini seolah-olah macam melakukan pemeriksaan menyeluruh pada bayi dalam kandungan. Kepala, muka, jantung, perut, peparu, pundi kencing, buah pinggang, tangan, kaki, jari kaki, jari tangan, mulut, tali pusat, kedudukan uri, jantina, kuantiti air mentuban diperiksa dengan teliti. Scan jenis ini mengambil masa yang agak lama sedikit dan memerlukan ‘tukang scan’ fokus pada skrin. Maka janganlah dianggap mereka sombong sebab tak melayan pertanyaan anda ketika scan. Mereka perlu fokus dan tidak boleh ada gangguan.
Walaupun fokus, kadang-kadang ada sesetengah struktur yang tak jelas dan anda diminta datang semula pada hari lain untuk ulangan scan.
Perlu diingatkan, majoriti bayi adalah bayi yang normal. Kecacatan hanya berlaku dalam 1 dalam 100 kehamilan. Walaupun scan yang dilakukan dengan teliti sekalipun, ada beberapa ketidaknormalan yang mungkin tidak nampak pada scan, dan mungkin nampak bila kandungan dah membesar sedikit.
✏️Scan tumbesaran ( selepas 32 minggu )
Tumbesaran bayi boleh dipantau melalui scan yang dilakukan secara berkala. Diameter kepala, ukur lilit kepala, ukur lilit abdomen, panjang tulang kaki ( femur) akan diukur. Berat bayi dan air mentuban juga turut diukur. Kesemua bacaan ini akan diplotkan ke atas graf tumbesaran bayi untuk melihat bayi membesar atau tak.
Artikel Menarik: [Muntah Mula-Mula Mengandung Tu Biasa, Tapi Ada Ibu Yang ‘Mabuk’ Sampai 9 Bulan. Seksa!]
Scan pada peringkat awal kehamilan, sebelum 10 minggu – TIDAK dijalankan secara rutin, kecuali:
☑️Untuk confirmkan mengandung – jika ujian air kencing samar-samar, period tak teratur, ataupun pernah keguguran sebelumnya.
☑️Berlaku pendarahan ketika awal kehamilan
☑️Jika doktor berasakan pesakit mengalami kehamilan luar rahim, atau pesakit sendiri pernah mengandung luar rahim.
Scan perlu dibuat pada masa yang betul ketika hamil, supaya kita mendapat maklumat yang betul mengenai kehamilan.
Artikel Menarik: [Berebar-Debar Tunggu Result UPT, Tapi Cuma Naik 1 Line. Luluhnya Hati, Hanya Tuhan Yang Tahu]
Scan hari-hari tidak memberikan sebarang kelebihan dan tidak mengubah apa-apa dari segi rancangan perawatan pesakit.
Semoga dengan penerangan Dr Izzat dapat memberi input kepada ibu hamil tentang jenis-jenis ujian imbasan yang paling penting untuk dibuat ketika anda mengandung. Banyak sebab mengapa kita teruja untuk buat scan, tetapi kalau sampai membazir pun tak elok juga. Pa&Ma mendoakan agar ibu hamil di luar sana semuanya dipermudahkan urusan bersalin anda nanti.