loading...

Bila Gigi Anak Tumbuh Dengan Banyak, Anda Boleh Menggunakan Ubat Gigi Pada Jumlah Sebesar Sebutir Beras

Penjagaan oral kanak-kanak perlu bermula sejak mereka masih bayi lagi. Sungguhpun bayi masih belum tumbuh gigi pertama, namun ibu bapa perlu mula menjaga kebersihan mulut dan gusi bayi. Penjagaan oral kanak-kanak sinonim dengan penggunaan berus gigi bayi, kain lembut dan juga ubat gigi.

Gigi bayi mungkin kecil, tetapi ia memainkan peranan penting dalam tumbesarannya kelak. Ia bertindak sebagai ruang letak untuk gigi dewasa nanti. Tanpa set gigi bayi yang sihat, anak anda akan mengalami masalah besar untuk mengunyah dan bercakap dengan jelas. Itu sebabnya penjagaan gigi bayi dan menjaganya agar bebas dari kerosakan adalah sangat penting. Walau bagaimanapun, seawal usia berapakah bayi boleh diberikan ubat gigi dan bagaimana anda ingin membersihkan gusi dan gigi bayi yang kecil?

Bagaimana menjaga gigi dan gusi bayi?

Ubat Gigi, Sesuai Digunakan Pada Bayi? – penjagaan gusi bayi

Ibu bapa tidak perlu menunggu sehingga anak tumbuh gigi untuk memulakan penjagaan oral mereka. Anda sudah boleh mula menjaga gusi bayi sebelum gigi pertamanya tumbuh lagi. Tetapi pada permulaannya, ia tidak melibatkan penggunaan berus gigi dan ubat gigi.

Caranya adalah dengan:

Sebelum gigi bayi tumbuh, anda boleh mula bersihkan gusi dan mulutnya menggunakan kain basah lembut atau lembap atau sekeping kain kasa
Secara perlahan-lahan, lapkan dan gosokkan pada gusi dan sekitar mulut bayi.

Lakukannya sekurang-kurangnya dua kali sehari, terutamanya selepas penyusuan dan sebelum tidur. Jika bayi sudah tumbuh gigi, anda boleh mula perkenalkan berus gigi yang direka khas untuk bayi dengan berus lembut. Anda hanya perlu basahkan berus gigi dan kemudian gosokkan perlahan gigi bayi.

Cara ini akan dapat membantu membasuh, menyingkirkan dan menghalang bakteria daripada melekat pada gusi. Bakteria ini boleh menyebabkan plak yang melekit yang akan mengakibatkan kerosakan pada gigi apabila ia tumbuh nanti.

Bila perlu mula perkenalkan bayi dengan ubat gigi?

Apabila gigi pertama atau turut dikenali sebagai gigi susu bayi mula muncul, anda boleh mula menggosok gigi bayi anda dengan berus gigi. Terdapat beberapa kriteria dalam pemilihan berus gigi, iaitu:

-Berus lembut
-Kepala kecil
-Pemegang besar

Sebagai permulaannya, hanya basahkan berus gigi tanpa menggunakan sebarang ubat gigi. Bayi hanya boleh menggunakan ubat gigi jika sudah berusia 18 bulan dan ke atas. Sebelum mencapai usia yang dinyatakan, anda hanya boleh memperkenalkannya dengan ubat gigi jika disarankan oleh doktor gigi.

Apabila gigi susu tumbuh dengan banyak, anda boleh menggunakan ubat gigi pada jumlah sebesar sebutir beras. Jumlah penggunaan ubat gigi rendah atau bebas fluorida akan ditingkatkan kepada saiz kacang pis apabila anda anda berusia lebih 18 bulan. Berus gigi anak anda dengan lembut pada sekitar gigi susunya, di bahagian depan dan belakang.

Anda perlu membantu memberus gigi anak anda sehingga dia mampu untuk memegang berus sendiri. Tetapi pastikan anda mengawal proses memberus gigi itu sehingga anak anda dapat membilas dan meludah dengan sendiri dan tanpa sebarang bantuan.

Apa itu fluorida?
Fluorida adalah sejenis mineral yang dijumpai secara semula jadi di dalam air, tanah dan udara. Hampir semua air mengandungi fluorida, tetapi paras fluorida boleh berubah-ubah bergantung kepada dari mana air itu berasal.

Penggunaan fluorida ditambah ke dalam ubat gigi dengan tujuan untuk:

-Mencegah kaviti
-Menguatkan enamel gigi yang lemah
-Menterbalikkan kerosakan gigi awal
-Mengehadkan pertumbuhan bakteria oral
-Melambatkan kehilangan mineral daripada enamel gigi.

Bagaimanapun, terdapat perdebatan mengenai keselamatan fluorida, termasuklah ubat gigi berfluorida kepada manusia. Namun, American Dental Association masih menyarankan penggunaan ubat gigi ini kepada kanak-kanak dan orang dewasa. Cuma, ia perlu digunakan dengan betul.

Selamatkah ubat gigi fluorida untuk bayi?

Seperti yang dikatakan awal tadi, kepentingan penjagaan kesihatan mulut yang baik adalah amat penting untuk dimulakan dari awal. Ia harus bermula sebelum bayi anda mula untuk tumbuh gigi susu yang pertamanya dengan mengelap gusi dan mulut dengan kain lembut dan lembap untuk membantu membuang bakteria.

Apabila gigi susu mula tumbuh, American Academy of Pediatrics menyarankan untuk beralih kepada penggunaan berus gigi dan ubat gigi bebas fluorida. Tetapi kuantiti ubat gigi yang digunakan adalah sangat sedikit dan tidak melebihi saiz sebutir beras. Penggunaan ubat gigi bebas fluorida ini harus digunakan sehingga anak anda mencapai usia 2 tahun.

Anda boleh menambah jumlah ubat gigi berfluorida jika usia kanak-kanak sekitar 3 hingga 6 tahun, kerana ketika ini mereka sudah pandai meludah semasa menggosok gigi. Pada tempoh usia ini, setiap kali anak anda ingin memberus gigi, kehadiran anda atau individu dewasa lain perlu ada sebagai pengawasan. Menurut American Dental Association, kanak-kanak di bawah usia 6 tahun cenderung untuk tertelan ubat gigi kerana tindak balas refleks menelan mereka masih belum berkembang sepenuhnya.

Ubat Gigi, Sesuai Digunakan Pada Bayi? – penggunaan ubat gigi

Bagaimana jika bayi saya tertelan ubat gigi?

Sekiranya ibu bapa mematuhi jumlah pemberian ubat gigi yang disarankan, adalah tidak mengapa jika bayi tertelan sedikit daripada saiz kecil ubat gigi yang ada pada berus gigi. Bagaimanapun, jika anda meletakkan jumlah ubat gigi yang lebih banyak, dan anak anda tertelan sedikit daripadanya, terdapat kemungkinan bayi mengalami sakit perut. Ini tidak semestinya berbahaya, tetapi anda boleh membawa bayi berjumpa doktor jika bimbang dengan keadaan kesihatan si manja anda.

Ubat gigi berfluorida adalah selamat untuk kanak-kanak dan orang dewasa. Jika anda bimbang anak anda akan tertelan ubat gigi, sentiasa pantau anak kecil anda semasa memberus gigi, sehinggalah dia sudah boleh memberus giginya sendiri dan pandai meludah.

Apa yang perlu dilakukan jika bayi tidak suka memberus gigi?

Ia merupakan satu situasi normal yang berkemungkinan besar untuk berlaku. Tidak semua bayi menyukai apabila giginya dibersihkan. Keadaan ini akan cenderung untuk berlaku apabila bayi anda sedang dalam tempoh pertumbuhan gigi yang menyebabkan gusinya menjadi lembut dan sakit, sekali gus mengakibatkan bayi anda akan menolak untuk digosok giginya. Berikut adalah beberapa tip yang boleh dilakukan untuk membantu anda mengendalikan situasi ini:

Jangan memaksa. Gusi bayi adalah sangat sensitif walaupun ia mungkin bukan tempoh pertumbuhan gigi, jadi seandainya bayi anda amat tidak menggemari aktiviti memberus gigi, anda perlu menggunakan kain lap yang lembut dan lembap dan menggosok serta mengelapnya secara perlahan-lahan.

Menyanyi. Bagi sesetengah bayi, sedikit gangguan adalah apa yang diperlukan untuk memudahkan proses memberus gigi. Cuba untuk mengalunkan sebarang lagu atau bunyi semasa membersihkan gigi bayi anda.

Contoh. Anda mungkin perlu menunjukkan contoh bagaimana proses memberus gigi dilakukan, dengan membenarkan anak anda melihat anda menggosok gigi dan menyukainya. Ia dipercayai dapat membantu anak anda untuk menyukai masa menggosok gigi.
Biarkan bermain. Bayi anda mungkin mempunyai sifat ingin tahu mengenai berus gigi atau berus jari tersebut. Tarik minatnya dengan membenarkan dia untuk memegang dan meneliti mengikut kemahuannya. Dia mungkin secara tidak langsung memasukkan berus tersebut ke dalam mulutnya dan memberus giginya secara sendiri.

Sumber: Hello Health

Previous
Next Post »
loading...