Kalau dulu majlis konvo tu biasanya dibuat untuk graduan-graduan yang bakal terima diploma, ijazah dan yang seangkatan dengannya di universiti. Tapi sekarang budaya konvo ni bukan sahaja di peringkat institusi pelajaran yang tinggi sahaja, malah dari tadika sampailah sekolah menengah semua pakat berlumba buat majlis.
Dari dewan biasa sampailah ke hotel menjadi lokasi untuk membuat majlis-majlis sebegini. Sampaikan baru-baru ini tular beberapa kisah yang meruntun hati warganet. Ada yang terpaksa bawa motorsikal bos ke majlis konvo tadika anak dan ada pula yang ayahnya menyamakan jumlah untuk membeli jambangan bunga sama dengan 20 kilo beras. Ternyata trend ini bukan sesuai untuk semua orang. Bagi sesetengah pihak ia lebih kepada membebankan.
Bagaikan terpanggil untuk membuka mata ibu bapa tentang isu ini, perkongsian daripada seorang wanita di Facebook ada benarnya. Menurut Noridawati Awang majlis konvokesyen yang dahulunya dilihat gah serta eksklusif tidak lagi dipandang sebegitu susulan budaya terbaru yang memulakan majlis graduasi di peringkat tadika dan juga sekolah rendah.
Tak salah raikan pelajar tapi biarlah ikut kemampuan
Menurutnya lagi bukanlah salah untuk meraikan pelajar-pelajar itu tapi perlulah mengikut kemampuan ibu bapa mereka kerana tidak semua berasal dari keluarga yang senang. Wanita itu juga berharap perkongsian tersebut dapat membuka mata semua.
Ramai yang bersetuju
Tenyata perkongsian yang dibuat mendapat respon yang menyatakan persetujuan. Lebih daripada 5 ribu komen diterima dengan 14 ribu perkongsian dibuat. Ramai yang berkongsi pendapat masing-masing tentang majlis konvo untuk anak-anak kecil yang menjadi trend pada masa kini.
Dah nak habis penggal persekolahan tahun ini, moga tahun-tahun hadapan tak ada lagi isu sebegini. Seperti kata Noridawati, tak salah pun nak buat majlis konvo untuk anak-anak murid. Tapi kalau boleh buatlah yang ikut kemampuan semua.
Sumber: Erin Sakura & Noridawati