loading...

Kanak-Kanak Lelaki Antara Mangsa Yang Maut Dalam Nahas 7 Kenderaan Di Lebuhraya PLUS Semalam

Empat termasuk seorang kanak-kanak maut dalam kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Kilometer 317, Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan), malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Perak berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 10.50 malam sebelum anggota dan jentera dari Balai Bomba Tapah dengan bantuan dari Balai Gopeng dikejarkan ke lokasi.

Katanya sebaik tiba, pihak bomba mendapati sebanyak tujuh kenderaan terbabit iaitu dua treler, sebuah lori, Perodua Axia dan Myvi, pacuan empat roda jenis Pajero dan Honda Accord dengan keseluruhan 14 mangsa terbabit.

“Tiga yang maut adalah dari pacuan empat roda iaitu seorang lelaki dewasa, seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki, manakala seorang lagi adalah wanita dari Perodua Myvi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Dua lelaki Melayu yang menaiki salah satu treler cedera ringan, begitu juga seorang lelaki Cina yang menaiki Honda Accord cedera ringan.

“Seorang perempuan dewasa Melayu dan seorang lelaki Melayu dari Perodua Myvi cedera parah, serta dua lelaki Melayu dari Perodua Axia cedera ringan,”

Katanya lagi, pasukan bomba yang tiba di tempat kejadian membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dari Perodua Myvi, Pajero dan Honda Accord menggunakan hydraulic cutter.

Jurucakap itu memaklumkan, identiti kesemua mangsa belum dapat dikenal pasti dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, sementara yang cedera dibawa ke Hospital Tapah untuk rawatan.

Operasi tamat pada pukul 1.48 pagi.

Sumber: Bernama, Awani

Previous
Next Post »
loading...