Kementerian Sumber Manusia akan membawa cadangan penetapan tujuh hari cuti bersalin (paternity leave) bagi suami yang bekerja di sektor swasta ke Kabinet dalam masa terdekat.
Menterinya, M Kulasegaran berkata, pihaknya sudah berbincang dengan pelbagai pihak termasuk majikan di seluruh negara dan berharap dapat membentangkan usul berkenaan menjelang akhir bulan ini.
Beliau berkata, kementerian memahami sentimen Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) dalam isu ini dan akui bukan mudah bagi kementerian mendapatkan persetujuan pemegang taruh berkaitan berhubung cadangan ini.
“Kami sedar penting bagi ibu bapa berada bersama anak mereka pada awal kelahiran dan saya bercadang mengesyorkan kepada Kabinet dengan harapan ia diberi perhatian serius bagi mewujudkan rumusan yang memanfaatkan semua pihak,” katanya.
Terdahulu, WAO menyerahkan petisyen dengan hampir 40,000 tandatangan kepada Kementerian Sumber Manusia, meminta supaya cuti bersalin tujuh hari bagi suami ditetapkan bagi sektor swasta.
Hadir sama pada penyerahan petisyen itu ialah Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.
Kulasegaran berkata, kementeriannya juga berharap ia menjadi peraturan wajib bagi dipatuhi sektor swasta sekiranya cadangan itu diluluskan sebagai undang-undang.
Menurutnya, memandangkan cadangan cuti bersalin tiga hari bagi suami di sektor swasta pun belum lagi diluluskan sebagai Rang Undang-Undang (RUU) di Parlimen, sudah tentu syor tujuh hari yang mahu dibentangkan kepada Kabinet akan mengambil masa lebih lama untuk dipertimbangkan.
Sementara itu, Yeoh berkata, kementeriannya memberi sokongan padu kepada cadangan itu dan berharap Kementerian Sumber Manusia akan mempercepatkan pembentangannya kepada Kabinet.
Dalam pada itu, Fahmi pula berkata, cuti bersalin tiga hari bagi suami memang tidak mencukupi terutama jika bayi yang lahir mengalami komplikasi seperti menghidap demam kuning atau sebagainya.
“Sebagai bapa dan suami, anda tidak cukup masa untuk menemani anak dan isteri ketika tempoh berpantang. Justeru, saya turut menyokong cuti bersalin tujuh hari bagi suami bekerja di sektor swasta ini,” katanya.
Manakala, Pengarah Eksekutif WAO, Sumitra Visvanathan berkata, petisyen itu bertujuan menggesa kerajaan meneliti cadangan yang diketengahkan secara serius dan berharap dapat dilaksanakan segera.
“Syor cuti bersalin tiga hari bagi suami oleh kerajaan adalah satu langkah yang positif tetapi tidak memadai kerana golongan bapa di sektor swasta juga berhak mendapat cuti tujuh hari, seperti mana sektor awam,” katanya.
Sumber: Metro