Giliran pulang ke kampung untuk beraya sering menjadi perbincangan serius pasangan berkahwin apabila tibanya Syawal. Ada yang mencapai kata sepakat mengikut giliran dan ada juga yang berbalah setiap kali merancang kampung siapa dahulu yang mahu dikunjungi. Tidak perlu yang tinggal jauh berlainan negeri, ada ketikanya yang satu daerah pun boleh bermasam muka jika bercerita soal ini.
Ketika merancang dan membuat keputusan untuk beraya di kampung siapa terlebih dahulu, perlulah ada toleransi antara keduanya. Niat pulang ke kampung adalah untuk berkumpul satu keluarga dan berjumpa orang tua tersayang. Oleh itu, setiap pasangan perlu memahami antara satu sama lain ketika berbincang pelan berhari raya.
Isteri yang baik akan mengikut suaminya pulang ke kampung tanpa sebarang rungutan. Suami mithali pula akan berbesar hati dapat membawa pasangannya pulang ke kampung halaman si isteri. Ada juga masanya isteri terlalu mementingkan diri, mahu pulang ke kampungnya sahaja tanpa memikirkan perasaan suaminya. Ada pula suami yang tidak mahu cuba memahami keinginan isteri yang mahu beraya bersama keluarganya.
Ketika di kampung mereka, suami atau isteri akan bergembira. Tetapi apabila tiba giliran pasangannya, mulalah buat perangai. Tarik muka masam, bercakap pun seperti tiada mood. Sekaligus membuatkan pasangannya menjadi tidak seronok ketika tiba giliran pulang ke kampung mereka. Rasa tidak seronok kan?
Belum kira lagi jika ada suami atau isteri yang langsung tidak mahu bergaul dengan ahli keluarga atau berat tulang untuk membantu di rumah mertua. Menjadi satu hal pula pasangannya mahu ‘ cover line‘ kerana mahu menjaga air muka mereka. Bukankah tidak adil jika anda gembira di kampung anda, tetapi apabila tiba giliran pasangan anda beraya di rumah ibu bapa mereka, anda tidak bersungguh-sungguh seperti mereka?
Kesimpulannya, beraya di kampung siapa pun sebenarnya sama seronok. Kita dapat bertemu ibu ayah serta semua beradik. Bukan selalu dapat berjumpa semuanya, ketika berayalah kita dapat meluangkan masa bersama-sama. Kemeriahan berhari raya, jika dikongsi bersama sesama pasangan sudah tentu dapat membentuk sebuah keluarga bahagia penuh tolak ansur.