KUALA LUMPUR – Empat pelatih Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) termasuk seorang pemain bukan dari sekolah sukan bawah 15 tahun telah terpilih menjalani latihan bersama Akademi Kelab Bola Sepak Profesional Liga 1 Jepun, Cerezo Osaka di Osaka, Jepun Ogos depan menerusi Program Asean Dream Project 2019.
Kesemua pemain tersebut telah terpilih daripada 120 calon dalam sesi latihan Stadium USIM, Nilai, Negeri Sembilan semalam iaitu Raja Muhammad Haikarl Raja Muhammad Zahari dan Muhammad Danial Haiqal Mohd. Shaipol dari Akademi Mokhtar Dahari sementara Muhamad Afiq Norizan dari Sekolah Sukan Negeri Melaka, Muhammad Farizzudin Adham Batcha (Sekolah Sukan Negeri Selangor) dan Anas Nadawi Shaharudin (Sekolah Menengah Bandar Baru Bangi).
Program anjuran Cerezo Osaka, Yakult dan Stesen Televisyen Osaka dan telah memasuki tahun kedua bertujuan mencungkil bakat muda ke kelab Cerezo Osaka bagi menjalani latihan dan beraksi bersama 10 pemain terbaik dari Thailand dan Myanmar.
Presiden Cerezo Osaka, Hiroaki Morishima menjelaskan bakat yang ada pada setiap pemain terpilih tidak mustahil mampu membuka mata pencari bakat di Jepun jika mereka berjaya menunjukkan kemampuan sebenar Ogos depan.
“Terdapat permintaan dari pemain-pemain Malaysia yang telah beraksi tahun lalu dan menyebabkan ia diteruskan untuk edisi kedua.
“Pemain yang telah tamat menjalani program ini mampu pergi lebih jauh kerana mereka boleh beraksi di Liga Profesional Jepun, bukan sekadar di Cerezo Osaka sahaja memandangkan ada pencarian bakat yang sering mencari bakat terbaik dari Malaysia,” katanya.
Pada masa sama, Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada melahirkan rasa gembira dan berharap pemain yang terpilih mampu menambat hati kelab dari Jepun seterusnya memenuhi impian bakat muda negara.
“Kami berharap pemain yang terpilih mendapat peluang bermain di Liga Profesional Jepun selepas tamat program ini kerana perkara tersebut mampu menjadi kebanggaan rakyat Malaysia.
“Doa kami sentiasa mengiringi pemain yang terpilih agar mereka dapat mencapai cita-cita untuk menjadi pemain profesional pada masa hadapan,” jelasnya. – K! ONLINE
Ligakampung.com mengucapkan syabas dan semoga mereka akan mengembangkan bakat masing-masing. Harap-harap dengan pendedahan ini ada antara mereka yang dapat beraksi di Liga J sedikit masa nanti.
Sumber Gambar : Twitter Ima Liana