loading...

Bila Anak Obses Pada Sesuatu Ada Tempoh Waktunya, Biarkan Saja Asal Tak Jejas Rutin!

Pelik bila melihat anak kita terlalu obses akan sesuatu misalnya patung dinasaur, anak patung Barbie dan sebagainya. Obsesi ini seakan sudah sebati dalam diri anak-anak kita. Berkepit 24 jam.

Menurut Dr Airil Haimi Mohd Adnan, Ketua Pusat Pengajian di UiTM Cawangan Perak dan penyelidik aktif ilmu psikologi perkembangan tahun awal serta sosiologi pendidikan usia praformal, obsesi atau minat yang mendalam akan sesuatu boleh mewujudkan rutin dalam diri si kecil sebagai titik permulaan untuknya belajar rutin yang lebih kompleks.

Menurutnya lagi, tak kira apa pun obsesi atau hobi si kecil, positifnya anak akan mempelajari struktur hidup dan mendapat keselesaan melakukan perkara yang biasa seperti pergi ke sekolah setiap hari persekolahan, duduk diam sambil memberi perhatian kepada cikgu, balik ke rumah dan membuat kerja sekolah, dan macam-macam rutin lagi termasuk beribadat, membersih diri, makan-minum dan tidur.

Kuasai Kemahiran
Jelas, tidak salah untuk papa dan mama menyokong obsesi si kecil. Paling tidak, kita orang dewasa perlu bersikap neutral mengenai obsesi atau minat berkenaan sambil memberi si kecil akan pendedahan kepada perkara-perkara lain yang pasti tidak kurang menarik. Tambahan pula, di sekolah kelak anak harus mempelajari pelbagai ilmu dan bukan hanya memfokus kepada bidang minatnya sahaja!

Para pengkaji pendidikan prasekolah/praformal juga mendapati ada beberapa kesan yang amat positif apabila kanak-kanak terobsesi atau menunjukkan minat yang amat mendalam akan sesuatu.

Antaranya, mereka akan menunjukkan tempoh tumpuan (attention span) yang makin lama, meningkatkan pengetahuan dan ketekunan diri, dan melihatkan kecenderungan yang lebih besar untuk bertanya dan mencari informasi baharu.

Di rumah, mama dan papa boleh menggunakan imaginasi sendiri untuk meluaskan hobi atau obsesi si kecil berkenaan. Tanya kepadanya soalan dan minta penjelasan untuk fakta yang dia tahu, kemudian ‘cabar’ si kecil untuk menggunakan imaginasi untuk memikirkan atau mencipta idea baharu pula. Nah, pemikiran si kecil anda bakal matang dengan cepat.

Obsesi Bukan Petanda Negatif
Obsesi yang terlalu kuat terhadap sesuatu hal juga boleh menjadi petanda keadaan autisme atau seorang anak kecil yang autistik. Akan tetapi, tanpa indikator autisme lain misalnya tidak mampu memberi fokus terlalu lama, tidak suka atau mengelak sentuhan, sukar menerangkan sesuatu hal dan tidak suka bercakap – tidak semestinya memberi petanda anak anda seorang yang autistik.

Namun begitu obsesi atau minat keterlaluan yang bernilai negatif seperti terlalu taksub dengan permainan video, tablet atau aplikasi mainan telefon pintar; suka akan perkara yang kotor atau jijik; amat minat kepada hal atau perlakuan yang lebih sesuai untuk orang dewasa, dan lain-lain lagi – perlakuan seperti ini harus dipantau dan cepat dikawal.

Seperkara lagi, penyelidikan sosio-saintifik mendapati bahawa si kecil lelaki umumnya lebih berkemungkinan untuk memfokus kepada sesuatu obsesi atau hobi berbanding dengan kanak-kanak perempuan. Namun, perlu saya tekankan sekali lagi, dunia kanak-kanak pada usia pendidikan praformal 0 hingga 6 tahun penuh perubahan dan perkembangan.

Seperti kebanyakan fasa pada peringkat usia ini, obsesi atau hobi kanak-kanak biasanya akan pudar dan berubah-ubah sejajar dengan masa. Pada masa yang sama, siapa tahu kerana sokongan dan dorongan papa dan mama, si kecil anda betul-betul dapat menjadi seorang Doktor Pakar, Saintis Entomologi atau Chef Profesional apabila dewasa nanti?

Semua ini nanti hasil daripada hobi, minat yang mendalam dan obsesinya yang amat keterlaluan pada usia pendidikan praformalnya suatu masa dahulu.

Tinggalkan Komen

Previous
Next Post »
loading...