loading...

Sebelum Menyusu Merengek, Dah Susukan Mengamuk Pula. Ini Yang Mama Kena Faham

Ramai ibu bertanya kenapa baby mengamuk masa nak di susukan ? Saya ‘direct feed’ baby. Sebelum menyusu dia merengek-rengek cari puting ibu. Tapi bila saya susukan, dia mengamuk-ngamuk dulu baru hisap susu. Masa menyusu pun dia selalu lepaskan puting kemudian hisap semula. Saya ingatkan susu saya tiada. Saya picit ada je. Saya tak faham kenapa baby macam tu.

Jawapan:

Lazimnya orang ramai akan menjumpai jawapan bagi soalan sebegini dari sudut isu-isu berkaitan penyusuan yang layak dijawab oleh kaunselor laktasi. Namun,ramai yang mungkin tak tahu, masih ada kemungkinan isu yang berlaku ini tiada kaitan dengan isu lazim dan ‘direct’ dengan susu ibu dan hal penyusuan. Jadi, kali ini saya akan menjawab dari sudut pandangan seorang konsultan tangisan bayi untuk anda pertimbangkan kemungkinannya. Sifirnya mudah, jika apa yang saya bentangkan ini tidak kelihatan sebagai punca kepada masalah puan, maka puan harus tahu bahawa kemungkinan terbesar jawapan pasti ada pada isu berkait penyusuan itu sendiri yang perlu di rujuk kepada kaunselor laktasi.

Kemungkinan #1: Reflek Gastro- Colon

Salah satu punca biasanya adalah sensasi pergerakan usus yang di panggil ‘Gastro-Colon-Reflex’.
Dalam bahasa mudahnya, ia adalah cara badan bayi memberitahu perut untuk mengosongkan isi kandungannya dan menolak lebihan makanan ke arah usus untuk di buang, setiap kali ada makanan baru yang tiba menjelang setiap sesi penyusuan bermula.

Reflek ini juga ada pada orang dewasa. Namun, bagi orang dewasa, ia bukan sesuatu yang mengganggu kecuali bila sensasi ini kuat di rasakan saat kita sakit perut untuk membuang air dan lebih lagi ketika cirit-birit.

Bagi bayi kecil, sensasi ini lebih rutin untuk dirasakan kerana sistemnya baru mahu beradaptasi dengan proses makan dan hadam. Namun, bagi sesetengah bayi yang sensitif, mereka tidak gemarkan rasa sensasi pelik yang berlaku ini dan menangis setiap kali ia berlaku. Ia menjelaskan mengapa bayi berhenti menyusu, melepaskan puting ibu ketika menyusu kerana fokus diganggu dengan sensasi reflek ini. Penjelasan yang mudah,langsung tidak menyakitkan bayi namun ia membuat ibu susah hati!.

Kemungkinan #2: Bayi Mahu ‘Comfort Sucking’

Semua ibu tahu menghisap itu ada dua tujuan utama pada bayi. Menghisap untuk memuaskan rasa lapar (nutritive sucking) dan menghisap untuk merasa tenang dan selamat (non-nutritive sucking) atau lebih popular di gelar comfort sucking atau mengempeng dalam istilah lazim melayunya.

Namun ramai yang tidak tahu, purata jumlah masa yang bayi habiskan untuk mengempeng adalah sekitar 2 hingga 3 jam sehari. Ia memang banyak dan lebih lagi terasa banyaknya oleh ibu yang menyusukan bayi secara langsung.

Sudah menjadi lumrah untuk ibu yang tidak tahu, tidak ada idea dan tidak pernah belajar tentang cara lain atau teknik tepat untuk mententeramkan bayi akan segera menyua puting payudara untuk membuat bayi diam.

Tiada masalah dalam hal ini kecuali ada ramai bayi, pada satu tahap mula mengamuk dan marah kerana terpaksa menelan susu walaupun sebenarnya mereka hanya mahu mengempeng. Ini sesuatu yang tak dapat dielakkan kerana puting ibu tetap akan mengeluarkan susu tak kira samada bayi mahu menghisap sebab benar lapar atau kerana mahu mengempeng. Jadi, ibu melihat putingnya tidak lagi berkesan sebagai alat mententeramkan pada satu tahap dan bayi bergelut serta marah-marah di puting ibu.

Kemungkinan #3: Bayi Ingin Sendawa

Sumber gas utama dalam badan bayi berpunca dari proses pencernaan di mana antara produk akhirnya ialah gas. Bermaksud gas sentiasa dihasilkan dan ada dalam badan bayi. Ia juga bermaksud bayi boleh perlu untuk sendawa pada bila-bila masa, tak semestinya selepas penyusuan sahaja.

Bila susu mula masuk dan memenuhi bahagian perut bayi, ia mula menolak gas yang ada. Gas mungkin cukup banyak untuk mula naik ke atas dan mencetus reflek untuk sendawa. Ia menjelaskan mengapa kadang-kala bayi memberhentikan susuannya kerana dia merasa tidak selesa. Atau , sebenarnya bayi telah terlebih dahulu membuat isyarat tangisan ingin sendawa iaitu ‘Eh’.

Namun bagi mana-mana ibu yang tak memahami bunyi tangisan ini dan tidak pernah belajar untuk mengenal tangisan rutin bayi akan sering menganggap bayi menangis kerana lapar. Menambah lagi kekeliruan ini ialah bila dalam masa yang sama, ibu tidak tahu pula cara lain untuk mententeramkan bayi selain menyuakan payudara. Maka bayi akan kelihatan mengamuk-ngamuk di payudara kerana dia sebenarnya meminta bantuan untuk di sendawakan,tetapi ibu tidak faham. Bayi ‘cuba mendapatkan’ sebarang jalan untuk menyelesakan dirinya. Pada ketika ini,menghisap puting ibu nampak seperti ‘masuk akal’ kepada nya kerana dia telah biasa ditenteramkan di puting ibu. Lalu dia cuba menghisap atau kelihatan mahu menghisap, mencari-cari dan mengalu-alukan puting ibu sebelum menyedari hal ini tidak membantu pun.

Saya berharap semua kemungkinan yang saya bentangkan ini dapat memberi sudut pandang baru kepada puan dan membantu puan memikirkan punca masalah dalam spektrum yang lebih luas.

Sumber: Puan Uswatun Hasanah (baby language)

Tinggalkan Komen

Previous
Next Post »
loading...