Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun sembilan bulan meninggal dunia selepas tertinggal dalam kereta yang dipandu ibunya di Taman Aman, dekat sini pada Rabu.
Ditemui Dalam Keadaan Mulut Berbuih
Dalam kejadian yang berlaku pukul 4.35 petang itu, mangsa ditemui dalam keadaan mulut berbuih selain melecur pada muka serta lengan.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, sebelum kejadian mangsa menemani ibunya menjemput pulang dua beradiknya yang lain di sekolah menaiki kereta Proton Bezza pada pukul 1 tengah hari.
Tidak Sedar Anak Tertinggal
“Sebaik tiba di rumah, ibu mangsa meletakkan kereta dan berpesan pada anak sulungnya untuk membawa mangsa keluar.
“Ibu mangsa terus naik ke tingkat atas rumah untuk solat dan tertidur. Pada jam 3.35 petang, wanita itu turun ke bawah untuk makan lalu memanggil mangsa namun tiada jawapan.
“Wanita itu bergegas mencari di sekeliling rumah namun tidak menemuinya sehinggalah mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di tempat duduk belakang kereta,” kata Nasri dalam kenyatan media pada Jumaat.
Disahkan Meninggal Dunia
Menurut Nasri, mangsa dikejarkan ke hospital namun disahkan sudah meninggal dunia.
“Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal akibat kesan haba.
“Manakala kesan melecur pula kerana keadaan panas dan berlaku selepas mangsa sudah meninggal dunia.
Ibu Mangsa Ditahan
“Pegawai perubatan membuat laporan polis dan ibu mangsa ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 403A Kanun Keseksaan kerana cuai sehingga mengakibatkan kematian,” katanya lagi.
Sumber: Astro Awani