loading...

Tragedi Tahfiz: Azizulhasni Lelong Sarung Tangan Rio 2016

KUALA LUMPUR – Juara dunia, Mohd Azizulhasni Awang telah melelong sarung tangan yang digunakan semasa Sukan Olimpik Rio 2016 dengan harga RM5,000 untuk sumbangan kepada Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang terbakar di Jalan Keramat Ujung, di sini.

Beliau hari ini meluangkan masa untuk melawat pusat tersebut untuk menyampaikan sumbangan dan juga hasil daripada lelongan amal yang dijalankan menerusi akaun Instagram beliau, beberapa hari lalu.

Menurutnya, sumbangan tersebut diharap dapat membantu menampung keperluan pusat tahfiz berkenaan.

“Hasil daripada lelongan dengan pembida tertinggi dengan RM5,000 dan juga ditambah dengan sumbangan beberapa individu, kita sedekahkan kepada pusat tahfiz ini.

“Saya harap dengan bantuan kecil ini dapat meringankan pusat tahfiz dan anak-anak tahfiz ini,” katanya seperti dipetik BH Online.

Azizulhasni melelong sepasang sarung tangan basikal 5Bling edisi Rio2016 yang digunakan semasa meraih pingat gangsa acara keirin pada temasya Sukan Olimpik di Rio tahun lepas.

Lelongan pertama yang berakhir jam 8 malam semalam, menyaksikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menjadi pembida tertinggi dengan nilai RM5,000.

“Sarung tangan tersebut telah mendapat bidaan tertinggi daripada Menteri Belia dan Sukan kita iaitu YB Brig Jen Khairy Jamaluddin dengan jumlah sebanyak MYR5,000.00 , ribuan terima kasih kepada Abah KJ,” katanya.

Terdahulu, jaguh keirin negara itu pernah melelong sarung tangan ‘Save Gaza’ yang digunakan pada temasya Sukan Komanwel 2014 dan sumbangan disalurkan ke Gaza. – MYNEWSHUB.CC

Loading...

Previous
Next Post »
loading...