loading...

Terengganu Kumpul Dana Bagi Bantu Pelarian Rohingya

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu hari ini melancarkan Kempen Terengganu Untuk Rohingya bertujuan mengumpul dana bagi misi bantuan kemanusiaan etnik Rohingya di kem pelarian Bangladesh.

Kempen yang digerakkan oleh Skuad Sukarelawan TTB dengan kerjasama Pemuda dan Puteri UMNO Terengganu memilih kem pelarian Rohingya di Bangladesh kerana ia adalah kem terbesar ketika ini yang menempatkan 400,000 pelarian.

Ketua Urusetianya, Samiun Salleh berkata Skuad TTB ini akan bekerjasama dengan pelbagai jabatan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mengumpul bantuan dana tersebut.

“Sasaran kita ialah mengumpul RM1 juta untuk diserahkan sendiri dalam pelbagai bentuk bantuan makanan, perubatan dan barangan keperluan kepada pelarian berkenaan.

“Setakat ini, cadangan kita adalah membawa 50 sukarelawan TTB untuk membantu kerja-kerja kemanusiaan di kem itu.

“Malah kita turut bekerjasama dengan Mercy Malaysia untuk membawa doktor-doktor sukarelawan mereka bagi memberi khidmat perubatan dan rawatan kesihatan di sana,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Samiun berkata idea melancarkan tabung kemanusiaan itu dicetus Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman sebagai tanda keprihatinan umat Islam di Terengganu terhadap etnik Rohingya.

“Selain meletakkan tabung ini di lokasi tumpuan ramai dan di setiap program rasmi kerajaan negeri, kita turut bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu untuk membolehkan orang ramai membuat sumbangan menerusi masjid seluruh negeri.

“Misi kemanusiaan ke kem pelarian Rohingya itu dijangka pada akhir Oktober depan,” katanya. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...