loading...

Perubahan Taburan Hujan Faktor Berlaku Banjir Kilat

KUALA TERENGGANU – Fenomena banjir kilat luar biasa antara lain disebabkan perubahan corak taburan hujan selain faktor pembangunan yang sukar dikawal.

Ekoran itu Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar kini memberi fokus utama kepada dua perkara iaitu memastikan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dilaksanakan mengikut kemajuan dirancang serta memberi khidmat nasihat kepada agensi yang bertanggungjawab mengenai risiko banjir.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Ir Hamim Samuri berkata RTB perlu dilaksanakan secara berterusan berdasarkan rekabentuk yang telah dibuat.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula akan terus beri nasihat kepada kerajaan pusat, kerajaan negeri termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tentang kemungkinan banjir yang berlaku berdasarkan perubahan taburan hujan yang berlaku pada masa ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pengurusan Air Larian Hujan – Pelan Kawalan Hakisan dan Kelodak yang dihadiri 150 peserta terdiri daripada pegawai kanan JPS, kontraktor, pemaju, perunding dan agensi kerajaan yang lain di sini hari ini.

Persidangan itu adalah antara inisiatif JPS untuk membincangkan dasar, garis panduan serta teknologi terkini dalam usaha mencegah kejadian banjir kilat dan kemusnahan alam sekitar di mana hasil perbincangan akan dikumpulkan oleh JPS dan Pertubuhan Saliran Mesra Alam Malaysia (MSO) untuk dikemukakan kepada kerajaan.

Hamim berharap semua pihak lebih bersedia dengan perubahan tersebut kerana taburan hujan di satu-satu kawasan ketika ini sukar dijangka berdasarkan jumlah taburan hujan terdahulu.

Beliau berkata pola taburan hujan itu dikesan berubah sejak beberapa tahun kebelakangan ini namun ia semakin ketara sejak setahun lalu.

“Contohnya ada kawasan yang tidak pernah dilanda banjir kilat, namun ia terjadi ketika ini. Termasuklah kalau dulu di satu-satu kawasan lembangan sungai menerima taburan hujan yang sekata, namun kini ada kawasan lembangan sungai dan kawasan tadahan hujan yang tidak lagi menerima taburan hujan seperti biasa.

“Banjir kilat yang berlaku itu bukan kerana salah rekabentuk, bukan kerana salah JPS. JPS telah melakukan yang terbaik, tapi kerana iklim yang telah berubah dan perkara ini perlu difahami oleh rakyat (agar) lebih bersedia dengan perubahan tersebut.

“Bagaimanapun, kerajaan melalui JPS akan cuba mengurus keadaan ini sebaik mungkin terutamanya dalam memberi nasihat kepada kerajaan dan penerangan kepada rakyat,” katanya. – Bernama

Loading...

Previous
Next Post »
loading...