loading...

21 Kes Keracunan Makanan Sejak Januari Hingga September

IPOH – Sebanyak 21 kes keracunan makanan dilaporkan di Perak dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, kata seorang anggota Exco negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri Datuk Dr Mah Hang Soon berkata jumlah itu menurun berbanding 54 kes keracunan makanan di negeri ini sepanjang tahun lepas.

Sehubungan itu, semua pengusaha makanan diingatkan supaya tidak memandang ringan soal penyediaan makanan bagi mengelak kejadian tidak diingini, katanya ketika berucap pada majlis penyampaian Anugerah Keselamatan Makanan peringkat negeri di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Negeri menjalankan Ops Premis Makanan Bersih secara bulanan bagi memantau premis makanan demi kepentingan orang ramai agar tidak terdedah kepada penjualan produk tercemar.

Bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini, sebanyak 83 premis makanan diarah tutup dan 509 premis dikompaun melibatkan nilai RM228,355 hasil pemeriksaan ke atas hampir 8,000 premis makanan.

Pada tahun lepas, lebih 13,000 premis makanan diperiksa dan daripada jumlah itu 130 premis diarah tutup manakala 468 premis dikompaun melibatkan nilai RM208,730. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...