Rasa sakit pada luka pembedahan caesarean? Ia mungkin tanda rahim sedang mengecut. Tapi mama perlu perhatikan juga, bimbang ia tanda-tanda luka dalaman bermasalah!
Penjagaan luka yang baik dan tahap kesihatan ibu yang optimum membantu penyembuhan luka pembedahan selepas bersalin. Menjadi satu igauan ngeri sekiranya timbul masalah.
Terdapat ibu yang berasa sakit pada bahagian dalam luka pembedahan walau pun bahagian sudah kering. Ada juga ibu yang merasakan sakit & perit dirasakan terutamanya semasa menyusukan bayi.
Menurut Dr Nurul Azwa Hasni, Konsultan Obstetrik & Ginekologi, Salam Specialist Hospital pembedahan caesarean merupakan pembedahan yang melibatkan 7 lapisan perut.
Memandangkan banyak lapisan yang terlibat, proses pemulihan mengambil masa dalam 4 hingga 6 minggu, kadangkala 3-6 bulan, bergantung pada individu.
PERINGKAT PENYEMBUHAN
Lapisan yang paling awal pulih adalah lapisan kulit dalam 7-10 hari, manakala luka dalaman seperti lapisan rahim dan rektus mengambil masa yang lebih lama. Oleh sebab yang demikian, adalah normal sekiranya ibu selepas bersalin masih berasa sakit pada bahagian dalam luka permbedahan walaupun luka pada kulit telah kering.
FAKTOR MEMPENGARUHI PENYEMBUHAN
Faktor – faktor yang mempengaruhi proses pemulihan boleh dibahagikan kepada 2 faktor utama iaitu faktor setempat (local) atau faktor sistemik.
Faktor setempat termasuk keluasan luka yang terlibat jangkamasa pembedahan dan banyak atau sikit pendarahan semasa pembedahan.
Manakala faktor sistemik termasuk pada umur, nutrisi, masalah kesihatan ibu semasa mengandung, ubat – ubatan yang diambil semasa mengandung dan juga cara hidup ibu semasa mengandung.
Para ibu juga digalakkan bersenam ringan untuk memastikan perjalanan darah ke seluruh badan adalah baik.
PUNCA LAMBAT SEMBUH
Antara faktor yang menyebabkan luka menjadi lambat sembuh ialah umur ibu yang meningkat, masalah kurang zat makanan dan masalah kesihatan ibu seperti anaemia.
Selain itu, obesiti, kencing manis, darah tinggi dan kekurang tiroid, pengambilan steroid untuk perubatan dan gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok, kurang bersenam atau pergeraka juga akan melambatkan proses pemulihan.
PENGECUTAN RAHIM
Rasa sakit dan perit semasa menyusukan disebabkan oleh penghasilan oksitosin di mana ia mengecutkan rahim seterusnya mengelakkan dari tumpah darah. Proses pengecutan ini boleh menyebabkan sakit pada tempat pembedahan.
TANDA-TANDA BAHAYA PADA LUKA
Agak sukar untuk mengetahui luka dalaman dalam keadaan baik atau tidak; kecuali ibu mengalami sakit dan perit yang berterusan, demam tak tahu punca, perut bertambah kembung sehingga rasa loya dan muntah, sesak nafas atau pendaharan banyak dengan tiba-tiba. Tanda-tanda ini perlu mendapatkan rawatan kecemasan dengan segera!
Untuk memastikan pemulihan berlangsung dengan cepat, ibu selepas bersalin perlu mengawal gula dalam darah. Ikut nasihat doktor berkenaan pemakanan dan dos insulin. Makan makanan berkhasiat.