Penghulu Kampung Kuala Koh Mamat Pokok berkata, penduduk mula diserang penyakit sejak Ramadhan dan mengesyaki ia berpunca daripada pencemaran sumber air.
Tiada Tindakan
Masalah jangkitan kuman yang melanda masyarakat Orang Asli Kampung Kuala Koh telah dimaklumkan kepada banyak pihak sejak awal bulan Mei lepas.
Namun, menurut guru agama Islam Orang Asli, Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK), Mohd Fazdzli Mahmok, tiada tindakan diambil sehinggalah keadaan menjadi semakin serius.
“Mungkin jika perkara itu diambil tindakan awal keadaan akan menjadi lebih terkawal dan tidak seramai itu yang menjadi mangsa kerana kampung ini jauh dari bandar,” kata Mohd Fazdzli.
Jangkitan Paru-paru
Sementara itu, pemeriksaan klinikal Jabatan Kesihatan Negeri mendapati, semua mangsa mempunyai tanda-tanda jangkitan kuman di paru-paru (pneumonia) dan bukanlah penyakit tibi atau penyakit bawaan air dan bukan disebabkan keracunan bahan kimia.
Seramai 33 orang pesakit ditempatkan di Hospital Gua Musang dan 14 orang di Hospital Kuala Krai dan sedang dirawat adalah terkawal dan telah menunjukkan keadaan semakin pulih.
Pencemaran Bahan Kimia?
Tahun 2018 lalu, lebih 100 penduduk Orang Asli suku kaum Batek di Kampung Kuala Koh di sini mendakwa sungai berhampiran penempatan mereka tercemar sehingga ada yang gatal-gatal dan sakit perut selepas menggunakannya.
Kualiti air sungai tersebut juga terjejas, dipercayai berpunca daripada aktiviti perladangan, pembalakan dan perlombongan di kawasan berhampiran perkampungan itu sejak lima tahun kebelakangan ini.
Masalah kekurangan bekalan air bersih juga dikatakan semakin meruncing di kampung berkenaan, akibat aktiviti penerokaan tanah menyebabkan sungai yang menjadi nadi utama penduduk suku kaum Batek terus tercemar tanpa sebarang kawalan.
Air sungai yang menjadi keperluan penduduk semakin ditimbus tanah dan sisa kayu akibat aktiviti pembalakan dan perlombongan berhampiran kawasan kampung.
Penduduk Orang Asli juga terpaksa menggunakan air dari anak Sungai Lebir yang terletak di dalam kawasan ladang kelapa sawit, yang menjadi punca ramai mengadu sakit perut dan gatal di badan selepas menggunakan air sungai itu.
sumber: utusan