loading...

“Anak-Anak Jadi Penenang Dan Hilangkan Stress Saya”, Nubhan Teruja Beraya Dengan Ahli Baru!

Bintang Akademi Fantasia 6, Ahmad Nubhan Ahamad, 33 tahun, mungkin makin menyepi daripada dunia hiburan namun anak jati kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan ini cukup aktif di instagramnya. Malah ayah kepada dua anak ini cukup aktif berbisnes dan produk Juwita Divine yang diterajuinya sejak 4 tahun lalu ternyata mendapat sambutan yang cukup hangat daripada pengikutnya.

Mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 bersama doktor gigi, Dr. Afifah Hidayah Taufek, 29 tahun, kini pasangan sama cantik sama padan ini dikurniakan dua orang cahayamata pelengkap kasih mereka.

Bapa kepada Aafiya Kamilia, 2 tahun dan Ahmad Aaffan, 5 bulan ini cukup peramah dan senang didekati. Malah sifat kelakarnya membuatkan sesi fotografi berlangsung meriah. Paling teruja melihat gelagat Aafiya yang cukup rapat dengan abahnya.

Kata Nubhan, dia dan isterinya Dr. Afifah Hidayah Taufek, 29 tahun, sebenarnya merancang untuk punya anak ramai kerana sukakan pada kanak-kanak.

Anak Jadi Penenang
Baru sahaja menimang cahaya mata kedua pada 19 Januari lalu, Nubhan mengakui hidupnya terasa sempurna diberikan rezeki anak perempuan dan lelaki. Malah bapa dua anak ini tak sabar menunggu sambutan Aidil Fitri tahun ini.

“Cukup lengkap sepasang,” katanya memulakan bicara.

“Bergelar ayah pada dua orang anak ini memang buat saya teruja. Saya tak ada masalah nak jaga anak malah saya selalu bawa Aafiya ke pejabat setiap hari. Saya rasa lebih tenang bila nampak dia depan mata. Malah idea lebih datang mencurah-curah bila Aafiya ikut saya ke pejabat.

Orang kata rimas bila anak-anak menangis, buat perangai dan mengamuk tapi bagi saya semua itu tak pernah jadi masalah. Kalau anak menangis, kena ada caranya nak handle mereka. Bagi saya anak-anak ini sebagai penenang dan penghapus tekanan.

Perkara yang paling seronok sangat bagi saya bila tiap kali kita balik ke rumah, anak sambut dengan jeritan dan meronta-ronta dekat kaki. Seronok sangat saya rasa. Hilang semua masalah,” kata penyanyi yang popular dengan lagu Ada Untukmu ini lagi.

Tidak mahu mengejar jumlah anak sebaliknya pasangan bergelar abah dan ibu ini mahu membesarkan Aafiya dan Aaffan terlebih dahulu.

“Mulanya dulu memang kami rancang nak anak 4 atau 5 orang tetapi setakat ini cukup dua dahulu bagi melihat mereka membesar dengan didikan yang berkualiti. Saya mahu mereka membesar dahulu. Dalam masa yang sama bolehlah memberikan tumpuan pada bisnes saya dan kerjaya isteri yang bakal membuka klinik giginya sendiri sedikit masa lagi,” kata Nubhan lagi merupakan anak bongsu daripada lapan adik beradik ini lagi.

Selesa Beraya Sedondon
Sambutan Aidil Fitri tahun ini pastinya lebih membahagiakan pasangan ini kerana sudah punya dua orang anak. Teruja untuk menyediakan kelengkapan sedondon buat kedua-duanya. Dalam hal ini, Dr Afifahlah orang yang paling sibuk menyediakan segala kelengkapan buat suami dan anak-anak.

“Kalau balik kampung, walaupun jaraknya tak jauh dari rumah kami di Seremban ke Kuala Pilah, saya akan persiapkan segalanya untuk kami pulang ke kampung. Awal-awal lagi saya dah persiapkan beg dan kelengkapan-kelengkapan lain. Perkakasan anak-anak terutamanya stok susu, tisu basah, pampers dan sebagainya mesti ada lebihan stok ketika beraya.

Bagi saya bergaya sedondon di pagi raya tidaklah wajib tapi teruja juga untuk pakai sedondon. Rasa macam satu team! Kalau pergi beraya orang dah tahu satu keluarga.

Paling seronok pastinya beraya di kampung kami di Kuala Pilah. Kalau beraya di rumah mentua memang meriah kerana adik beradik ramai. Malah menu paling istimewa air tangan mak mentua saya adalah Sup Gearbox yang sedapnya tak terkata. Kira tak sah kalau tak merasa sup ini di hari raya.

Raya kedua pula barulah kami berkonvoi menziarah sanak saudara, baik di sebelah keluarga mentua dan juga keluarga saya,” katanya lagi mengimbau rutin beraya setiap tahun.

Tinggalkan Komen

Previous
Next Post »
loading...