Kesilapan meneran sebelum pintu rahim terbuka sepenuhnya, risiko rahim jatuh amat tinggi. Apakah keadaan rahim jatuh?
Menurut Dr.Nurhazinat Yunus, Pakar Obstetrik & Ginekologi, masalah rahim jatuh berlaku apabila rahim turun dari kedudukannya yang normal. Utero vaginal prolapse (UVP) adalah keadaan di mana rahim bersama vagina atau faraj turun dari kedudukan yang sepatutnya.
Masalah rahim jatuh juga boleh berlaku bersama kejatuhan pundi kencing pada bahagian hadapan (dipanggil anterior wall prolapse atau cystocoele), atau kejatuhan saluran usus pada bahagian belakang (dipanggil posterior wall prolapse atau enterocele/rectocele).
Masalah rahim jatuh boleh berlaku dengan sendiri. Tetapi ia juga boleh dikaitkan dengan rahim terkeluar daripada anterior (depan), atau posterior (belakang) dinding faraj, atau kedua-duanya.
HAKIKATNYA SELEPAS BERSALIN, SEGELINTIR WANITA HANYA AKAN MENGALAMI MASALAH RAHIM JATUH PERINGKAT PERTAMA. OLEH ITU, MEREKA PERLU LEBIH PRIHATIN MENJAGA ORGAN PERANAKAN TERSEBUT DENGAN MENGAMALKAN PEMAKANAN YANG SIHAT, MENGELAK SEMBELIT, MELAKUKAN SENAMAN LANTAI PELVIS.
Walaupun masalah ini normal, tetapi ramai wanita malu untuk mendapatkan rawatan. Jika dibiarkan, ia boleh menjadi serius dan memerlukan rawatan intervensi seperti memakai gelang vagina atau menjalani pembedahan membuang rahim atau menaikkan vagina yang jatuh.
Peringkat pertama
Rahim jatuh sedikit sahaja daripada kedudukan normal, tetapi masih di dalam vagina atau faraj. Pada peringkat ini kebanyakan wanita tidak mengalami apa-apa simptom. Jika adapun, kebiasaannya wanita hanyalah perasan ada rasa berat pada bahagian rongga pelvis sahaja.
Peringkat kedua
Sebahagian dari rahim telah keluar dari vagina. Pada peringkat ini wanita tersebut mungkin merasa sakit belakang, perasaan berat pada bahagian pinggang ke bawah, dan yang pastinya terdapat benjolan bahagian serviks terkeluar melalui bukaan vagina terutamanya ketika berdiri.
Peringkat ketiga
Keseluruhan rahim berada di luar vagina. Biasanya keadaan ini akan bersama dengan kejatuhan pundi kencing pada bahagian hadapan, dan kejatuhan saluran usus besar pada bahagian belakang. Namun pada peringkat ini, organ ini masih lagi boleh ditolak masuk ke dalam vagina semasa pesakit baring di atas katil.
Peringkat keempat
Keadaan organ jatuh seperti peringkat ketiga, namun pesakit tidak boleh memasukkannya kembali ke dalam vagina biarpun pada keadaan baring. Mungkin wanita tersebut boleh mengalami masalah membuang air kecil dan sukar mengawalnya.
SIAPAKAH YANG BERISIKO?
- Individu yang pernah hamil dan bersalin. Semakin kerap hamil, semakin tinggi risiko tersebut.
- Wanita yang telah putus haid atau menopaus. Hal ini kerana kekurangan hormon estrogen menyebabkan pengecutan dan pengenduran otot pelvis.
- Wanita yang menghidapi batuk kronik, sembelit berpanjangan dan selalu mengangkat benda berat. Aktiviti ini boleh meningkatkan tekanan pada ruang abdomen dan menyumbang kepada rahim jatuh.
OTOT LANTAI PELVIS & LIGAMEN LEMAH JADI PUNCA
Rahim jatuh berlaku apabila otot lantai pelvis dan ligamen sekitarnya menjadi lemah, lantas tidak mampu memberi sokongan secukupnya kepada rahim. Oleh itu, rahim akan melorot jatuh atau tersembul keluar daripada bukaan faraj.
Rahim jatuh boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tidak mengira usia, namun ia sering berlaku pada wanita yang sudah putus haid (menopaus) yang pernah bersalin secara normal. Kerosakan pada otot lantai pelvis dan ligamen semasa kehamilan dan proses bersalin, kesan graviti, ketiadaan hormon estrogen dan perbuatan meneran berulang-ulang kali selama bertahun-tahun, boleh membawa kepada kekenduran otot lantai pelvis dan menyebabkan rahim jatuh.
4 AMALAN SIHAT ELAK RAHIM JATUH
Cara berpantang yang betul boleh mengurangkan risiko terjadinya rahim jatuh.
- Pemakanan yang berkhasiat akan membuatkan proses penyembuhan berjalan dengan lancar dan ini membantu otot dan ligamen pada lantai pelvis yang rosak untuk kembali pulih dan menyokong rahim.
- Dapatkan nutrien daripada makanan seimbang mengikut carta pola pemakanan yang disarankan. Makanan seimbang meliputi kandungan karbohidrat, protein, lemak, fiber (dari buah-buahan dan sayur-sayuran) pada nisbah yang betul. Ini akan membantu proses semula jadi pemulihan otot dan sebagainya, yang berlaku sepanjang hayat.
- Air dan serat yang mencukupi akan membantu proses pencernaan dan mengelakkan masalah sembelit. Masalah sembelit yang berpanjangan boleh menyumbang kepada rahim jatuh.
- Senaman lantai pelvis yang berterusan untuk menyokong kedudukan rahim yang telah diangkat tadi. Senaman ini boleh dilakukan selepas dua minggu bersalin.
LANGKAH PENCEGAHAN
Semasa bersalin: Elakkan meneran terlalu awal, sebelum pintu rahim terbuka sepenuhnya
Semasa hamil: Lakukan senaman lantai pelvis.
Selepas bersalin: Elakkan dari mengalami sembelit. Lakukan senaman lantai pelvis secara berterusan. Elakkan dari berdiri berpanjangan, mengangkat barang berat dan masalah batuk yang kronik. Buat senaman lantai pelvis setiap hari.
5 LANGKAH SENAMAN LANTAI PELVIS (KEGEL EXERCISE)
- Lakukan kemutan pada otot lantai pelvis – kemutkan otot yang anda gunakan untuk memberhentikan air kencing.
- Kekalkan kemutan tersebut selama lima saat, dan rehat lima saat.
- Tambahkan kemutan selama 10 saat sekiranya boleh.
- Lakukan sebanyak tiga kali sehari, dan setiap kali sebanyak 10 kemutan.
- Anda boleh lakukan senaman ini pada bila-bila masa, semasa menonton televisyen atau berehat di atas sofa.