Si kecil banyak bertanya soalan memang perkara normal. Ia sebahagian daripada proses pembelajaran mereka. Tapi ada ketikanya soalan yang tidak berkesudahan terutama ketika ibu dan ayah sedang sibuk mengejar masa memang boleh menguji kesabaran.
Kadangkala, ibu dan ayah tertekan dalam melayan soalan-soalan si kecil yang tidak habis-habis. Tapi bukan bermaksud apabila menghadapi situasi tersebut ibu dan ayah boleh menengking atau memarahi si anak supaya berhenti bertanyakan soalan.
Sebaliknya anda perlu faham itu antara proses perkembangan si kecil dan ia baik untuk otak mereka. Mengapa soalan penting untuk pembelajaran si kecil?
1. Aktif belajar
Apabila anak bertanya soalan, dia mengambil peranan aktif dalam pembelajaran sendiri. Dia sedang cuba untuk memikirkan bagaimana dunianya berfungsi dengan mencari maklumat. Sambil bertanya soalan, anak-anak sedang membangunkan kemahiran pemikiran kritikal yang membina kekuatan otak.
2. Mencari maklumat
Bertanya juga merupakan satu bentuk komunikasi yang penting. Anak anda mencari maklumat daripada individu lain yang menurutnya mempunyai lebih pengetahuan. Dia mungkin akan bertanya kepada anda, kakak, abang, ahli keluarga lain bahkan adakalanya kepada pengasuh yang menjaganya.
3. Perlukan jawapan yang betul
Walaupun adakalanya buntu untuk memberikan jawapan yang terbaik tetapi jangan sekali-kali menyuruh anak berhenti bertanya soalan tersebut. Amat penting untuk menjawab soalan si anak tetapi, sebaiknya elakkan menjawab secara membuta tuli kerana ia mungkin mengurangkan peluang untuknya berfikir sendiri dengan sokongan daripada anda.
4. Belajar meneroka
Melalui soalan, anak belajar meneroka keadaan sekelilingnya. Apabila si kecil melihat sesuatu objek atau individu yang menarik minatnya, mencapai sesuatu objek atau orang atau melihat ibu bapa dalam ekspresi muka yang berbeza daripada kebiasaan maka akan tercetuslah beberapa soalan.
5. Membina ayat
Dengan banyak bertanya soalan, si kecil sebenarnya sedang belajar membina ayat. Biasanya soalan yang sering ditanyakan akan berubah mengikut perkembangan dirinya.
* Usia 21 – 24 bulan
“Apa tu?”
* Usia 25 – 28 bulan
Bertanya dengan intonasi yang tinggi.
* Usia 26 – 32 bulan
“Kat mana atau di mana?”
* Usia 36 – 40 bulan
“Siapa tu?”
*Usia 40 – 49 bulan
Soalan kenapa, bila dan bagaimana sering menjadi pertuturan mereka.
Jadi, apa sahaja soalan yang diajukan oleh si kecil, ibu dan ayah haruslah cuba untuk memberikan jawapan yang terbaik kerana ia penting untuk perkembangan otak anak.