Mama rotan kerana sayang. Mama marah kerana kasih. Mama denda untuk membentuk kamu. Tidak pernah terlintas semua itu Mama lakukan kerana bencikan kamu.
Wahai Anak, percayalah setiap apa yang Mama lakukan adalah kerana Mama mahukan yang terbaik untuk kamu. Setiap titis air mata kamu yang jatuh kala Mama marahkan kamu atau rotan kamu, setiap kali itu hati Mama berdarah. Betapa Mama rasa bersalah. Tidakkah Mama seorang ibu yang gagal?
Jika Mama seorang ibu yang bagus, sudah tentu kamu tidak perlu dimarahi. Apatah lagi didenda atau dirotan. Jadi, Mamakah yang bersalah? Jika begitu, maafkan Mama.
Mama sayangkan kamu dan kerana sayang Mama bertegas. Setiap ungkapan Jangan atau Tidak Boleh bukan kerana Mama mahu menyekat kebebasan dan keinginan kamu. Tetapi Mama mahu mengelak terjadinya perkara yang tidak diingini kepada kamu.
Bila kamu ditegur atau dimarahi orang lain, Mama yang menangis dalam hati. Mama yang menggigil satu badan menahan agar diri tidak terlepas ‘tumbukan’ padu ke mukanya. Kerana Mama… Sayangkan kamu, sentiasa!
Tahukah kamu wahai anak, setiap kali kamu terlelap, Mama lah di sisi kamu yang mencium dahimu. Mamalah yang mendakap tubuhmu. Biarkan kamu tidak tahu, asalkan kamu merasainya.
Mama tidak sempurna, Sayang, tetapi Mama sentiasa berlumba-lumba untuk menjadi yang terbaik untuk kamu. Biar Mama jadi cinta ketiga buatmu selepas Allah SWT dan Rasulullah SAW. Berilah Mama ruang itu di hatimu.
Ingat Anakku, setiap kali Mama bertegas ada sebabnya. Kerana kamu, anakku CINTAKU YANG TERINDAH.