loading...

[REVIEW] Avengers: EndGame Penamat Yang Menyentuh Hati

Semalam, hari yang ditunggu-tunggu telah pun dimana tayangan awal Avengers: EndGame mula ditayangkan serentak di seluruh pawagam tanah air. Malah menurut sumber, sebanyak 10 juta tiket telah berjaya dijual disaat ‘jualan pembukaan’ mula dibuka sejak dua minggu yang lalu.

Ulasan Filem Avengers : EndGame 

Kami berkesempatan untuk menonton filem terakhir Avengers ini yang berdurasi lebih dari 3 jam lamanya. Terlebih dahulu, perlu kami ingatkan artikel ini hanyalah ulasan semata-sama dan berkenaan ‘spoiler’ mungkin hanya kami selitkan 2% untuk pastikan anda menonton filem ini secara lebih jelas dan puas.

Kali ini, tidak mengapa untuk peruntukkan sedikit wang untuk menonton di pawagam yang mempunyai ciri eksklusif sebagaimana kami yang sempat menonton di IMAX Maybank yang ketujuh di Malaysia bertempat di Central i-City Shah Alam.

Emosi Bercampur-Baur

Terlalu banyak yang ingin diperkatakan mengenai filem kumpulan adiwira ini yang melibatkan hampir 30 orang adiwira kesemuanya. Malah tidak keterlaluan kami katakan EndGame ini merupakan garapan sinematografi yang terbaik pernah dihasilkan oleh Marvel. Tidak seperti filem-filemnya terdahulu, EndGame membuatkan penonton mempunyai perasaan yang bercampur baur.

Namakan sahaja lucu, geram, sedih dan semestinya teruja sehingga ada penonton yang bertepuk tangan dan bersorak seolah-olah berada di stadium tatkala melihat adegan yang dipaparkan di dalam filem yang melengkapkan fasa terakhir Marvel sebelum berarah ke fasa terbaru yang masih lagi dalam perancangan. Nilai-nilai murninya juga ditampilkan dengan begitu cemerlang malah kebanyakan watak yang terdahulu kurang ditonjolkan, kali ini seperti all out!

Tidak Mempunyai Post-Credit 

Malah mengenai jalan ceritanya juga menepati petunjuk yang diberikan oleh para pelakon dimana EndGame merupakan ‘satu permulaan’ dan juga ‘satu penamat’ yang diberikan oleh para Avengers. Tertanya adakah EndGame mempunyai ‘post credit’? Jawapannya adalah tidak.

Meskipun Marvel mempunyai baki beberapa buah lagi filem yang akan ditayangkan kelak termasuklah Spiderman: Far From Home pada tahun ini, namun EndGame adalah penamatnya. Biarpun begitu, pastikan anda menunggu sehingga ke akhir filem kerana ada sesuatu yang istimewa bakal disajikan oleh Marvel buat peminat setianya.

Barangkali ini akan menjadi satu kenangan buat para pelakon filem ini yang bertungkus-lumus sejak 11 tahun yang lalu bagi menjadikannya sebagai yang terbaik. Pesanan kami sediakan tisu dan bersiap sedia untuk ke tandas terlebih dahulu, kerana EndGame adalah sesuatu yang luar biasa!

Sinopsis

Avengers : EndGame mengisahkan perjuangan para Avengers yang masih hidup, berusaha untuk mencari jalan mengembalikan rakan-rakan dan ahli keluarga mereka yang ‘terkorban’ akibat petikan jari Thanos. Untuk itu, mereka bersatu kembali dan disertai dengan dua ahli terbaru mereka iaitu Captain Marvel dan AntMan. Adakah mereka berjaya untuk kembalikan kepada keadaan yang asal? Segalanya terjawab di dalam filem ini!

Previous
Next Post »
loading...