loading...

Isu Uighur Disentuh Dalam Perbincangan PDRM & Polis Thai

BANGKOK – Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya Jen Chaktip Chaijinda di Ibu Pejabat Polis Diraja Thailand di sini hari ini.

Menurut sumber, antara isu yang dibincangkan dalam pertemuan itu melibatkan nasib 11 orang etnik Uighur daripada wilayah autonomi Xinjiang, China yang kini dalam tahanan Malaysia selepas mereka meloloskan diri daripada pusat tahanan di selatan Thailand.

“Terdapat cadangan supaya kesemua 11 warga Uighur terbabit diekstradisi kembali ke Thailand, tetapi keputusan akhir terletak di tangan pemimpin negara,” kata sumber itu yang enggan mendedahkan identitinya kepada Bernama hari ini.

Mohamad Fuzi berada di Bangkok untuk menghadiri perlawanan ragbi di antara pasukan polis kedua-dua negara bagi merebut Piala Rujirawongse di Stadium Boonyajinda di Laksi, Bangkok pada petang ini.

Turut serta dalam pertemuannya dengan Chaktip ialah beberapa pegawai kanan Polis Diraja Malaysia termasuk Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Datuk Seri Mohmad Salleh dan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Datuk Tajudin Md Isa.

Kesemua 11 etnik Uighur yang kini berada dalam tahanan Malaysia merupakan sebahagian daripada 20 yang meloloskan diri daripada sebuah pusat tahanan Imigresen di Sadao, selatan Thailand pada November tahun lepas.

Sembilan yang lain ditahan semula oleh pihak berkuasa Thailand tidak lama selepas mereka meloloskan diri.

Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Beijing telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Malaysia supaya mengekstradisi 11 etnik Uighur itu ke China.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menafikan kerajaan menerima tekanan daripada China supaya mengekstradisi etnik Uighur itu.

Polis Diraja Malaysia katanya, turut mengadakan siasatan terhadap 11 etnik Uighur itu untuk menentukan sama ada mereka terlibat dengan mana-mana kumpulan pengganas termasuk Daesh.

Setiausaha Agung Majlis Keselamatan Negara Thailand Jen Wanlop Raksanor memberitahu Bernama baru-baru ini, Bangkok sedang menunggu tindakan Malaysia berhubung 11 etnik Uighur itu.

Sementara itu sumber terbabit turut berkata, Mohamad Fuzi dan Chaktip dalam pertemuan itu juga berbincang untuk menjalin kerjasama lebih rapat bagi membanteras jenayah seperti penipuan pusat panggilan, kenderaan curi, penyeludupan manusia dan jenayah-jenayah berat lain.

“Polis Thailand bersedia menjalin kerjasama lebih luas dengan Polis Diraja Malaysia pada bila-bila masa melibatkan apa-apa kes membabitkan kedua-dua negara,” kata sumber itu.

Dalam isu kenderaan curi, katanya Polis Thailand meminta Bukit Aman menyalurkan maklumat dengan lebih cepat bagi membantu mereka bertindak lebih awal. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...