loading...

Ajak Shiro Pula Bergelar Penyanyi Solo

ajak shiro pula muncul dengan single solo

Kredit foto: Astro Gempak

Hanya selepas sehari dikeluarkan dari hospital, pelawak Ajak Shiro tampil dengan single solo pertamanya, Ging Gang Guli yang dilancarkan secara atas talian.

“Alhamdulillah, ini adalah rezeki buat saya dan Alhamdulillah juga untuk kesihatan yang diberikan. Semoga dengan kehadiran single solo sulung ini, saya dapat memberikan sesuatu kepada industri,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Ajak, 32, dalam masa sama menegaskan kejadian dia dikejarkan ke hospital tempoh hari bukanlah gimik untuk melariskan single baharu ini.

“Pelancaran single ini sudah dirancang sebelum saya sakit lagi dan tarikh 16 Mac ini juga adalah atas persetujuan bersama komposer lagu ini, Hafiz Hamidun.

“Jadi, ia bukanlah gimik untuk mencuri perhatian, sengaja dilakukan semata-mata untuk pelancaran single ini atau apa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ajak memberitahu dia bakal bercuti sehingga Ahad ini bagi mendapatkan rehat secukupnya, walaupun kesihatannya sudah dilaporkan pulih.

“Saya akan berehat sehingga Ahad dan akan kembali bekerja seperti biasa pada Isnin nanti.

“Saya tidak berani berjanji untuk memperlahankan kerja-kerja seni, tapi Insya-Allah saya akan luangkan lebih banyak masa untuk diri sendiri,” katanya.

Ging Gang Guli merupakan karya ciptaan komposer Hafiz Hamidun, manakala senikata hasil tulisan Ajak sendiri. Liriknya berkisar tentang kehidupan berumah tangga dan berunsur kekeluargaan.

Sehingga kini, muzik vidoe single berkenaan yang dimuatnaik di laman Youtube sejak 15 Mac lalu telahpun meraih lebih 6,700 jumlah tontonan.

Untuk rekod, ini bukanlah kemunculan sulung Ajak sebagai penyanyi kerana telah terlebih dahulu tampil secara duo menerusi single duet bersama Usop Mentor berjudul Sampai Langit yang juga lagu OST filem Rempit Sampai Langit.

Previous
Next Post »
loading...