Kredit foto: Instagram Ramon Marcote
Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mengambil keputusan untuk merehatkan seketika Ramon Marcote selaku jurulatih pasukan itu bermula hari ini (Rabu).
Menurut laporan Mstar Online, sumber KFA berkata, Marcote akan 'meninggalkan' tugasannya bersama skuad Lang Merah dalam tempoh yang belum diketahui.
Jurulatih kelahiran Sepanyol itu dikatakan hadir untuk mengendalikan sesi latihan petang tadi sebelum diarahkan pulang susulan keputusan yang dibuat.
Sehubungan itu, Marcote digantikan ketua jurulatih musim lalu yang juga penolongnya pada musim ini, Mohd Nidzam Adzha Yusof.
Kredit foto: Instagram Ramon Marcote
Pengumuman rasmi tentang tindakan merehatkan Marcote dijangka akan dihebahkan dalam waktu terdekat ini.
Sebelum ini, perlantikan beliau sebagai jurulatih dibuat pada Disember lalu sebagai memenuhi hasrat penyokong skuad hijau kuning dengan harapan untuk mempertahankan kejuaraan musim lalu.
Namun, tindakan terbaru KFA ini dipercayai berikutan prestasi Lang Merah yang merosot lewat ini, antaranya terlepas dua piala utama iaitu Piala Sumbangsih dan Piala FA, termasuk menghuni tangga ketujuh Liga Super.