Sejak abad ke-16 lagi, populasi Muslim wujud di Britain yang tiba pada mulanya untuk tempoh sementara disebabkan bekerja dan berdagang. Dan ketika Perang Dunia Pertama dan Kedua, sekitar setengah juta orang Islam menjadi tentera perang untuk Empayar British.
Dan selepas tamatnya perang ini, penghijrahan besar-besaran daripada bekas-bekas koloni bermula dan kini United Kingdom mempunyai populasi orang Islam sebanyak 4% daripada jumlah penduduk.
Pertumbuhan populasi Islam di Britain secara tak langsung memberikan impak kepada seni bina Islam di negara ini. Sebuah buku yang baru diterbitkan iaitu The British Mosque : An Architectural and Social History oleh Shahed Saleem adalah yang pertama memberi gambaran keseluruhan dan penjelasan mengenai senibina Islam di Britan.
Orang Islam di British bebas membina masjid dengan pelbagai gaya yang mencerminkan kepelbagaian dalam komuniti Muslim di Britain kerana tiada ketetapan seni bina tertentu bagi sesebuah masjid, dom dan menara.
Pelayar dan orientalis
Hanya beberapa buah masjid sahaja wujud di Britain sebelum abad ke-20. Masjid pertama yang dibuka di UK sebuah rumah teres Liverpool yang dibuka oleh Abdullah William Quilliam, seorang mualaf British, pada tahun 1887.
Manakala masjid pertama yang dibina di UK adalah di Woking, Surrey pada tahun 1889 dan ditauliahkan oleh Dr. Gottlieb Wilhelm Leitner, seorang ahli bahasa.
Dalam era yang sama inilah pelayar-pelayar dari Bangladesh, Somalia dan Yaman yang tinggal di England mula menukarkan pub-pub dan rumah-rumah kepada tempat ibadat di bandar yang mereka tinggal.
Antara bandar-bandar tersebut adalah South Shields, Liverpool, timur London dan juga Cardiff.
Pemisahan dan penyesuaian
Penghijrahan orang Islam dari India dan Pakistan ke Britain semakin meningkat selepas pemisahan India pada tahun 1947. Komuniti ini kemudiannya menubuhkan beberapa masjid baru untuk memenuhi keperluan agama dan sosial.
Seni bina masjid-masjid ini seolah-olah seperti sebuah rumah, sebagai contoh Masjid Wimbledon yang dibina pada tahun 1977 yang membangkitkan seni bina Mughal India.
Kebanyakan masjid-masjid awal selepas perang England bermula dengan penukaran rumah kepada masjid dan masih kekal hingga kini walaupun digantikan dengan masjid baru disebabkan jemaah yang semakin bertambah.
Masjid Jamia di Bradford bermula sebagai sebuah rumah pada tahun 1958 dan dibesarkan kepada dua rumah bersebelahan.
Menyertai vernakular tempatan
Memperbesar dan memperluaskan masjid sedia ada tidak lagi cukup untuk menampung populasi orang Islam yang semakin bertambah.
Pada tahun 1980 dan 1990, masjid-masjid baru mula dibina dan menggunakan gabungan seni bina Islam dan Inggeris di mana dom dan menara disokong oleh bahan-bahan dan gaya tempatan.
Contoh terbaik bagi seni bina ini adalah Masjid Noor-ul-Islam di Bolton dan Masjid Ghamkol Shareef di Birmingham.
Mula menggunakan seni bina Islam asli
Dan bermula pada abad ke-21, rekabentuk masjid mula mengambil rujukan secara langsung dari seni bina sejarah Islam. Terdapat beberapa masjid yang menjadi mercu tana di kawasan kejiranan yang menegaskan seni bina baru di Britain.
Ini termasuklah Masjid Suffa-tul-Islam yang terletak di Bradford.
Selain daripada contoh-contoh bersejarah ini, terdapat beberapa masjid yang cuba menggunakan pendekatan moden.
Masjid Cambridge yang kini dalam pembinaan diberikan nafas moden dengan lajur kayu yang begitu dramatik.
Sementara itu, Masjid Shahporan kecil di Bethnal Green menunjukkan bagaimana seni tradisional Islam dapat digerakkan untuk membentuk fasad yang begitu menonjol.
Rujukan :
1. Heritage Calling
2. The Guardian
3. Architect's Journal