KUALA LUMPUR – Penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, 39, selamat melahirkan bayi perempuan secara pembedahan di sebuah pusat perubatan di ibu kota, pada 8.17 pagi ini.
Suaminya Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, 59, berkata bayi seberat 3.55 kilogram itu dan isterinya kini dalam keadaan baik dan sihat.
Beliau juga melahirkan rasa kesyukuran kerana proses bersalin berjalan dengan lancar dan selamat sambil memaklumkan mereka memilih hari Isnin untuk kelahiran anak pertama adalah kerana bersamaan hari kelahiran Rasulullah SAW selain jatuh pada tarikh 1 Rejab.
“Terima kasih di atas doa dan sokongan daripada ahli keluarga, rakan-rakan, peminat dan juga pihak media sejak dari awal kehamilan sehinggalah melahirkan,” katanya dalam satu kenyataan rasmi dikeluarkan pengurus Siti Nurhaliza, Rozi Abdul Razak di laman Facebook rasmi penyanyi berkenaan hari ini.
Mengenai wajah dan nama anak, pasangan popular berkenaan meminta diberi sedikit masa sebelum mengumumkannya.
“Buat masa ini Siti mahu diberi ruang untuk berehat dan menumpukan perhatian pada hari-hari awal bergelar ibu,” menurut kenyataan itu.
Penyanyi kesayangan ramai kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu bernikah dengan Khalid atau lebih dikenali dengan panggilan Datuk K pada 21 Ogos 2006 di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta di sini. – BERNAMA
Loading...