Bayangkan anda sedang berjalan kaki merentasi kawasan pendakian yang lasak di sebuah pergunungan dalam satu misi penghijrahan bersama ratusan jemaah yang lain. Misi hijrah ini bukanlah sekadar untuk menguji ketahanan fizikal mahupun mencari pegangan hidup yang kian hilang. Anda hanya sedang mencari sejenis pasta. Namun, ia bukanlah pasta biasa-biasa sahaja. Ia adalah pasta paling rare atas muka bumi.
Su filindeu telah wujud sekurang-kurangnya 200 ke 300 tahun yang lalu. Walaupun ia merupakan satu resipi tua, ia adalah resipi turun-temurun dalam sebuah keluarga. Selama berabad lamanya, rahsia membuat pasta ini hanya diwarisi oleh ibu dan anak di sebuah perkampungan di kawasan pergunungan yang dinamakan Lula.
Hari ini, resipi membuat su filindeu disimpan oleh tiga orang wanita iaitu Paola Abraini, anak saudara perempuannya dan adik ipar perempuannya. Hanya tiga wanita ini sahaja dalam dunia yang mampu mencipta hidangan ini yang terdiri daripada 256 untaian halus dalam susunan kekisi seperti kain kasa yang nipis. Struktur nipis dan halus itulah yang memberi nama pasta ini yang diterjemahkan sebagai "bebenang tuhan".
Untuk mencuba su filindeu, anda hanya perlu melakukan dua perkara sahaja. Pertama, anda perlu menunggu sehingga Pesta San Fancesco yang diadakan dua kali setahun iaitu pada bulan Mei dan Oktober kerana pada masa ini sahajalah wanita-wanita ini akan menyediakan pasta luar biasa ini kepada orang awam.
Apabila hampir tiba masa yang dinantikan, anda bolehlah memulakan perjalanan ke kepulauan Sardinia dan bergerak menuju ke kawasan pergunungan di sana. Bahagian terakhir perjalanan perlu disempurnakan dengan berjalan kaki sejauh 32 km mendaki bukit bersama ratusan pelancong lain. Di penghujungnya, anda akan diberikan ganjaran sesi merendam kaki sambil dihidangkan semangkuk su filindeu yang sangat enak.
Sebenarnya, resipi membuat su filindeu bukanlah satu rahsia yang tidak boleh dikongsi dengan orang ramai. Bukannya wanita-wanita ini kedekut ilmu tetapi pembuat pasta no.1 di dunia pun tidak mampu memperoleh kecekapan membuatnya.
Pada tahun 2016 misalnya, chef terkenal Jamie Oliver yang mempunyai pengalaman 20 tahun membuat pasta juga telah mempelajari resepi dan teknik menghasilkan pasta ini namun beliau kecundang selepas dua jam mencuba. Walaupun Abraini sedia membantu, namun tangan yang menyediakan itulah "rahsia" sebenar pasta ini. Bukan sebarang orang mampu membuat pasta paling rare di dunia ini.
Tonton sendiri bagaimana Jamie Oliver bergelut untuk menghasilkan pasta su filindeu ini:
Rujukan:
1. Atlas Obscura
2. BBC
3. Saveur