loading...

PBB Jangka Wilmar Akan Terus Sokong Prestasi Kewangannya

KUALA LUMPUR – PPB Group Bhd menjangka sumbangan daripada firma berasaskan pertanian, Wilmar International Ltd akan terus menyokong prestasi kewangan syarikat tahun ini.

Pengarah Urusan PPB, Lim Soon Huat berkata, bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017 (FY17), sumbangan Wilmar membantu meningkatkan keuntungan kumpulan sebanyak 29 peratus kepada RM970 juta berbanding RM750 juta pada FY16.

Lim berkata, Wilmar yang 18.5 peratus kepentingan dimiliki PPB, telah menggunakan model perniagaan bersepadu dan ini sebenarnya memberi manfaat kepada PPB kerana Wilmar tidak banyak bergantung kepada perniagaan minyak sawit.

“Perniagaan mereka bukan sahaja minyak sawit dan kehadiran mereka yang meluas, termasuk China, adalah baik untuk PPB,” kata Lim, sambil menambah bahawa penguasaan Wilmar dalam pek pengguna minyak kelapa sawit di China berada pada kira-kira 40 peratus.

Lim berkata demikian kepada pemberita selepas taklimat media dan penganalisis PPB di sini, hari ini.

Menurutnya, anak syarikat tidak langsung, VFM-Wilmar Flour Mills Co Ltd, sedang mengembangkan kapasiti pengilangan dengan mendirikan sebuah kilang tepung baru di lokasi sedia ada di Vietnam dengan kapasiti tambahan 500 tan metrik sehari bernilai US$21 juta (US$1=RM3.91).

Mengenai perniagaan teras PPB, beliau berkata, syarikat itu telah memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) sebanyak RM622 juta untuk empat tahun akan datang.

“Sebanyak RM296 juta akan digunakan untuk segmen filem, pameran dan pengedaran. Syarikat merancang untuk membuka sembilan panggung wayang baru, di mana lapan akan beroperasi di bawah jenama Golden Screen Cinemas dan lapan akan ditempatkan di Malaysia manakala satu lagi dijangka dibuka di Phnom Penh, Kemboja,” katanya.

Pada 8 Disember 2017, Mediamore Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh PPB, telah membeli keseluruhan modal terbitan dan berbayar LGSC Cambodia Ltd.

Mengenai perniagaan bijirin dan pertanian yang menyumbang 67 peratus kepada pendapatan syarikat pada FY17, Lim berkata, PPB telah memperuntukkan RM259 juta kepada kilang tepung di China dan Vietnam.

Baki RM67 juta adalah untuk produk pengguna, alam sekitar, kejuruteraan dan utiliti, hartanah dan segmen lain.

Pada FY17, keuntungan bersih syarikat itu meningkat sedikit kepada RM1.24 bilion berbanding RM1.11 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya, manakala pendapatan naik kepada RM4.31 bilion berbanding RM4.19 bilion. – BERNAMA

Loading...

Previous
Next Post »
loading...