loading...

Erra Fazira Ulas Teguran Mufti Wilayah Persekutuan Terhadap Neelofa

erra fazira ulas teguran mufti wilayah persekutuan terhadap neelofa

Kredit foto: New Straits Times

Aktres Erra Fazira tertarik dengan surat terbuka yang dikemukakan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri berkaitan isu pelancaran koleksi tudung pelakon dan pengacara Neelofa di sebuah kelab malam di ibu kota pada Isnin lalu.

Surat terbuka yang dipaparkan di laman sesawang rasmi milik Zulkifli itu meraih perhatian ramai juga menjadi perbualan hangat.

Erra yang enggan mengulas kontroversi melibatkan pengacara MeleTOP itu, bagaimanapun berkata, dia lebih berminat menyentuh tentang cara Mufti berkenaan memberi teguran melalui kenyataan dalam surat terbukanya.

Bintang Sembilu ini berharap mereka yang beragama Islam dapat mencontohi beliau. 

“Apa diperkatakan Mufti harus diberikan perhatian. Mungkin kadang-kadang kita sebagai manusia biasa melakukan kesilapan tanpa kita sedari.

“Pastinya untuk menjadi lebih baik kita memerlukan orang memiliki ilmu tinggi dan berhak memberikan nasihat dan membimbing kita ke jalan kebaikan,” katanya.

Apa yang mampu diperkatakan Erra, Zulkifli sememangnya berhak memberikan nasihat, apatah lagi caranya yang sangat terpuji dan begitu diplomatik.

“Pada saya, itulah cara sebenar dan contoh terbaik buat kita sebagai penganut agama Islam dalam menegur orang keliling. Dalam lembutnya ada ketegasan. Membacanya membuatkan hati kita cepat terusik dan sedar,” katanya.

Erra mengakui, kebanyakan pihak hanya tahu menghentam secara kasar ketika mengulas isu yang dirasakan berlawanan dengan prinsip mereka termasuk kontroversi membabitkan nama usahawan muda ini.

“Apabila melihat kembali boleh dikatakan sebahagian besar kita bercakap mengenai Islam dan prinsipnya tetapi cara kita memberikan komen bukanlah cara didikan Islam.

“Pada saya surat terbuka diberikan dan ditulis Mufti adalah contoh terbaik,” katanya.

Berikut merupakan surat terbuka Mufti Wilayah Persekutuan iaitu Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri kepada Neelofa yang dikeluarkan pada Selasa lalu: 

erra fazira ulas teguran mufti wilayah persekutuan terhadap neelofa 2

Kredit foto: BH Online

“Assalamualaikum WBT. Kami menerima berita hangat melalui Facebook, Instagram dan media sosial lain berkaitan isu pelancaran produk Naelofar Hijab di Zouk, Kuala Lumpur.

“Kami mendapat pelbagai pandangan sama ada yang mengecam dan tidak kurang juga yang menyokong tindakan itu. “Justeru kami terpangil untuk menulis surat terbuka kepada Hajjah Neelofa berkenaan hal ini.

“Tudung lambang kehormatan wanita. Tudung simbol kepatuhan seorang hamba kepada perintah Tuhannya. Tudung juga satu bentuk kesempurnaan dalam beragama.

“Sebenarnya, tudung adalah simbol sifat malu seorang wanita, simbol akhlak muslimah yang perlu dipelihara dan simbol kemegahan Islam yang wajar dibanggakan.

“‎Pemakai tudung tidak semestinya sempurna, namun sentiasa berusaha untuk menjadi lebih baik dari hari sebelumnya. Indahnya pemakai tudung bukan hanya kerana memelihara auratnya, tetapi lebih daripada itu.

“Mereka sebenarnya memelihara agama-Nya dan mematuhi Allah dan Rasul-Nya.

“‎Sangat sukar sebenarnya untuk konsisten bertudung dengan memelihara perilaku dan adab kesopanan. Sehinggakan ada yang menolak untuk bertudung kerana tidak mahu hipokrit.

“Sedangkan perubahan daripada tidak bertudung, kepada bertudung bukanlah satu bentuk hipokrit kerana ia tidak hanya melibatkan penghijrahan diri tetapi juga penghijrahan hati dalam usaha menggapai reda Ilahi. Jika bukan reda-Nya yang kita impi, apa lagi yang hendak kita cari di dunia ini?

“‎Tidak salah untuk kita mencari kelainan. Malah, kadangkala kelainan itulah yang melorongkan seseorang ke jalan Tuhan. Namun, fitnah dan tohmahan perlulah sentiasa dielakkan.

“Satu kaedah yang masyhur di dalam Islam ‘matlamat tidak menghalalkan cara’. Benar, perniagaan untuk mendapatkan keuntungan adalah matlamat yang murni. Namun, kaedahnya juga wajib diraikan agar terhasilnya keberkatan.

“Kami sangat khuatir, apa yang terjadi baru-baru ini bakal membawa satu fenomena normalisasi dalam bertudung. Apa sahaja boleh dan dibenarkan asalkan bertudung.

“Kekhuatiran ini bukan bermakna agama mengongkong wanita, tetapi agamalah yang sebenarnya membebaskan wanita daripada penjara keterbukaan tanpa had, kepada mendapat hak kebebasan yang bersyariat.

“Kepada para ikhwah dan akhawat, masyarakat Muslim Malaysia yang memberi teguran dan saranan, kami merasakan banyak manfaat dan istifadah yang dapat dikutip. “Dalam keadaan seperti ini, alangkah baiknya kita mempunyai nada yang sama, penuh rahmah dan hikmah dalam memperbaiki diri sesama kita.

“InsyaAllah itulah yang terbaik. Memalukan, mengaibkan dan memberi tohmahan dan fitnah kepada beliau, bukanlah akhlak seorang Muslim. Semoga amar ma’ruf dan nahi mungkar yang dijalankan dengan kaedah dakwah yang baik akan membekas dalam sanubari kita.

“Kami mengenali Hajjah Neelofa sebagai simbol Muslimah berjaya. Tidak ramai yang mampu menggalas tugas sebagai ‘wanita besi’ dan ‘gergasi’ dalam perniagaan dan kerjaya. Tetapi anda sudah membuktikannya, malah membanggakan Malaysia dan dunia Islam.

Akhir kalam, kami berpesan kepada Hajjah Neelofa untuk sama-sama menghayati syariat Islam yang sebenarnya. Kami noktahnya di sini tiga perkara:

(i) Tanyalah ulama sebelum bertindak

(ii) Sentiasa memelihara imej wanita bertudung

(iii) Carilah rezeki yang diberkati Allah SWT.

“Kami berdoa semoga Hajjah Neelofa terus maju di dalam kehidupan dan kerjaya serta sentiasa memperoleh taufiq, hidayah dan rahmat-Nya.

Akhukum fillah,”

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri,

Mufti Wilayah Persekutuan.

Sumber berita: Harian Metro

Previous
Next Post »
loading...