loading...

Tristan da Cunha : kepulauan indah yang paling jauh terasing di dalam dunia

Dunia kita sememangnya terlampau luas dan indah. Banyak permata tersembunyi dan misteri yang masih belum kita ketahui atas muka bumi ini. Semakin banyak kita mengkaji apa yang terdapat di sekeliling kita, semakin membuak-buak rasa ingin tahu dalam diri. Dan semakin banyak kita berjalan melihat tempat orang, semakin kita sedar bahawa masih terlalu banyak tempat yang belum diterokai.

tristan da cunha pulau paling terasing terpencil di dunia 6

Satu tempat yang sudah pasti akan menarik minat anda adalah Tristan da Cunha, sebuah kumpulan kepulauan gunung berapi yang sangat terpencil di Atlantik Selatan. Tristan da Cunha juga merupakan nama pulau utama bagi gugusan itu. Ia merupakan pulau terpencil paling jauh yang didiami manusia.

tristan da cunha pulau paling terasing terpencil di dunia

Kepulauan ini terletak 2,000 km dari Saint Helena iaitu tanah paling hampir yang mempunyai penduduk mendiami kawasan itu dan juga 2,400 km dari Afrika. Satu-satunya jalan masuk ke Tristan adalah dengan menaiki bot kerana ketiadaan lapangan terbang di sana. Jika anda datang dari Cape Town di Afrika Selatan, perjalanan menaiki bot merentasi lautan akan mengambil masa lebih kurang satu minggu.

tristan da cunha pulau paling terasing terpencil di dunia 2

Pada bulan Januari 2017, anggaran bilangan manusia yang tinggal di pulau utama Tristan adalah seramai 262 orang sahaja. Pulau-pulau kecil yang lain masih belum didiami kecuali satu sahaja pulau di mana seorang pekerja tinggal di sana untuk menjaga stesen kaji cuaca.

Rekod pertama berkenaan kepulauan terpencil ini dibuat pada tahun 1506. Ia ditemui oleh seorang penjelajah Portugis iaitu Tristão da Cunha yang terkenal kerana berkhidmat dengan Raja Manuel I dari Portugal dan sebagai duta kepada Paus Leo X di Rom. Tristão tiba di kepulauan tersebut kerana menghadapi masalah laut yang terlalu bergelora. Dia kemudian menamakan pulau itu bersempena namanya sendiri sebelum nama “Ilha de Tristão da Cunha” itu diinggeriskan.

tristan da cunha pulau paling terasing terpencil di dunia 3

Beberapa pendaratan lain berlaku dalam dekad-dekad berikutnya. Rekod mengatakan bahawa kapal yang diketuai oleh Ruy Vaz Pereira berhenti di Tristan untuk mencari bekalan air pada tahun 1520. Pada tahun 1643 pula, anak kapal Heemstede dari Syarikat India Timur Belanda juga membuat pendaratan di kepulauan tersebut.

Menjelang 1656, penjelajah Belanda yang telah melawat kepulauan ini berkali-kali akhirnya berjaya menghasilkan sebuah peta kasar pertama menunjukkan keseluruhan kawasan Tristan.

tristan da cunha pulau paling terasing terpencil di dunia 4

Namun, penerokaan penuh kepulauan Tristan hanya bermula pada 1767. Anak kapal korvet Heure du Berger dari Perancis telah tinggal di sana selama tiga hari. Walau bagaimanapun, Tristan hanya mula didiami mulai kurun ke-19. Seorang lelaki bernama Jonathan Lambert yang datang dari Massachusetts telah menetap di pulau itu pada tahun 1810 dan mendakwa pulau itu adalah miliknya. Dia tiba bersama dua orang lelaki lain dan menamakan pulau itu "Islands of Refreshment." Dua tahun kemudian, hanya seorang lelaki yang masih hidup. Thomas Currie bekerja sebagai seorang petani di Tristan. Empat tahun selepas itu, iaitu pada tahun 1816, kepulauan itu telah diilhakkan oleh kerajaan United Kingdom.

Satu-satunya kawasan penempatan berpenghuni di Tristan da Cunha terletak di utara kepulauan tersebut dan dinamakan Edinburgh of the Seven Seas.

tristan da cunha pulau paling terasing terpencil di dunia 5

Kepulauan Tristan mempunyai gunung berapi aktif yang telah meletus sebelum ini. Pada tahun 1961 misalnya, apabila berlaku satu letusan besar, tanah runtuh dan gempa bumi, keseluruhan populasi manusia di sana berhijrah ke England. Walau bagaimanapun, menurut rekod, kesemua penduduk asal Tristan ini akhirnya berasa bosan dengan kehidupan di bandar dan tidak menyukai cuaca di sana hingga menyebabkan mereka berpindah kembali ke Tristan setelah pakar mengesahkan ia selamat untuk diduduki semula.

Walaupun Tristan da Cunha bukanlah destinasi pelancongan yang biasa dikunjungi, ia mungkin menjadi pengalaman sekali dalam seumur hidup jika berpeluang melawat dan melihat sendiri pulau yang paling jauh terasing di dunia ini.

Previous
Next Post »
loading...