loading...

Tiap Hari Nak Ziarah Kubur Bapa, Demi Doa & Sayang Seorang Anak OKU Buat Ayah Yang Telah Tiada

Kecacatan yang dialami oleh seorang anak kecil berumur 3 tahun tidak menghalang dirinya untuk menziarahi pusara arwah ayah tersayang yang telah meninggal dunia Disember tahun lalu. Lebih memilukan setiap kali berada di pusara ayahnya itu, Mohd Naufal tidak pernah terlepas untuk mendoakan arwah ayahnya itu.

menurut ibunya, Safura Ahmad, 39, meskipun cacat kedua-dua belah kaki kerana masalah saraf, buah pinggang bengkak dan masalah tulang pinggul, Naufal tetap mahu pergi ke rumah (kubur) ayahnya hampir setiap hari.

Gelagat Mohd Naufal menadahkan tangan berdoa di pusara ayahnya, Rahim Rauf di Tanah Perkuburan Islam Felda Lok Heng Barat di sini yang dikongsikan ibunya di Facebook baru-baru ini menerima pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.

Suami Meninggal Tahun Lalu Masa Nak Bawa Naufal Ke Hospital untuk Rawatan

Sapura berkata, suaminya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 31 Disember tahun lalu ketika mereka tiga beranak dalam perjalanan dari rumah di Bandar Tenggara ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk menjalani rawatan.

Katanya, setiap kali menziarahi kubur suaminya, Mohd Naufal akan menadahkan tangan seolah-olah berdoa.

“Selalu juga dia menyatakan mahu pergi rumah ayah kerana saya pernah memberitahunya kini pusara berkenaan adalah rumah bapanya.

“Hari-hari dia sebut ayah dan kadang-kadang dia beritahu mahu bermain, mandi dan pergi taman permainan bersama ayahnya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Tenggara, Kulai di sini.

Cuba penuhi permintaan Naufal

Sapura berkata, dia berusaha memenuhi permintaan Mohd Naufal menziarahi pusara suaminya sekurang-kurangnya sekali sebulan.

Menurutnya, ini kerana pusara suaminya terletak di Felda Lok Heng Barat, Kota Tinggi, sedangkan mereka tinggal di Kulai.

“Kami bukan hidup senang kerana selepas pemergian suami yang sebelum ini menanggung keluarga dengan pendapatan RM1,500 sebulan, kami kehilangan tempat bergantung.

“Walaupun gaji arwah sebagai pemotong rumput tidak sebesar mana, ia masih dapat menampung perbelanjaan rumah kerana saya tidak bekerja untuk menjaga Mohd Naufal yang memerlukan penjagaan umpama bayi termasuk minum susu empat jam sekali.

“Kami bergantung sepenuhnya pada pencen penakat arwah suami daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso) berjumlah RM650 sebulan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan,” katanya.

Menurutnya, dia juga perlu membayar sewa rumah sebanyak RM400 dan bil utiliti hingga berdepan masalah kewangan.

Jual Donut Tampung Kehidupan

 “Demi Mohd Naufal terutama memastikan dia dapat menjalani kehidupan lebih selesa, saya kuatkan semangat dan berusaha menambah pendapatan dengan mengambil tempahan membuat donut sejak tiga bulan lalu,” katanya.

Safura berkata, apa yang dilakukannya bagi menampung perbelanjaan tambang teksi anaknya ke HSI dua bulan sekali.

Katanya, kini dia mampu memperoleh RM300 sebulan hasil jualan donut.

Orang ramai yang ingin menempah donut dihasilkan Safura boleh menghubungi 010-9602803.

sumber: Hmetro

Previous
Next Post »
loading...