Anak kerap demam, batuk dan selsema terutama pada hujung tahun dimana cuaca tidak menentu. Hujan dan panas setiap hari boleh mempengaruhi kesihatan anak-anak. Kadang-kadang kita sebagai ibu bapa buntu apabila anak mula sakit.
Doktor Kamarul Ariffin Nor Sadan telah berkongsi pengalaman dimana anaknya telah jatuh sakit dan beliau telah berkongsi 10 tip penjagaan anak yang sedang sakit di laman facebook miliknya. Ikuti perkongsian beliau.
Anak saya sakit. Demam, batuk dan selesema. 2 hari di wad, kemudian semalam discaj. Perlu sambung rawatan di rumah.
Jadi, ada kemungkinan saya bawa balik kuman dari pesakit-pesakit pulang ke rumah, lalu ia menjangkiti anak saya. Ini kecuaian saya.
Apapun, ini saya beri beberapa tips penjagaan anak yang telah mendapat jangkitan pada salur pernafasan;
1. Perbanyakkan minum air kosong. Air diperlukan agar kahak tidak terlalu pekat. Ia juga boleh melegakan tekak yang kering.
2. Elakkan makanan atau minuman yang boleh sebabkan iritasi pada tekak seperti makanan pedas/berempah dan berminyak.
3. Boleh ambil buah-buahan yang kaya Vitamin C dan madu (setahun ke atas). Bayi bawah enam bulan, tak usah beri selain susu badan/formula.
4. Bawa jumpa doktor jika simptom berterusan lebih 3 hari. Makan ubat yang diberi mengikut ketetapan yang ditentukan oleh doktor/ahli farmasi.
5. Jika doktor saran kuarantin anak, maka tak usah bawa mereka ke tempat awam. Tak usah juga hantar ke sekolah. Khuatir janggkiti orang lain.
6. Jika terpaksa ke tempat awam, maka pakaikan anak topeng penutup mulut untuk kurangkan risiko menjangkiti orang lain.
7. Boleh ambil pelalian(vaksinasi) terhadap influenza. Ia memberi sedikit perlindungan daripada jangkitan virus influenza. Perlindungan bertahan setahun.
8. Jika anda petugas kesihatan, pastikan anda bersih diri sebaik sahaja pulang ke rumah. Tak usah terus bertandang pada anak-anak.
9. Jika anda seorang perokok, maka ini masa baik untuk mula usaha berhenti merokok. Demi kesihatan anak, isteri dan anda sendiri.
10. Selain ubat, anak yang sakit perlu diberi lebih perhatian dan kasih sayang. Suami pula jangan lupa manjakan si isteri yang jaga anak tu. Hehe.
Semoga bermanfaat! Saya doakan semua yang sakit akan dikurniakan semula kesembuhan secepat ya!
Sumber: Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan